Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Perak Rozidan Md Yasin menunjukkan gambar rusa sambar yang dilapah pemburu haram. - Foto YAHYA ZAINUDDIN
BERNAMA

Ipoh: Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak merampas daging tiga rusa sambar daripada tiga lelaki dipercayai pemburu haram di Hutan Simpan Amanjaya di KM69 Jalan Raya Timur Barat Gerik-Jeli di sini, hari ini.

Pengarahnya Rozidan Md Yasin berkata, pihaknya dimaklumkan oleh orang awam mengenai kejadian itu sebelum enam anggota penguatkuasa menjalankan pemeriksaan di kawasan itu serta menahan lelaki berumur 40-an, pada 3.45 pagi.

"Ketika serbuan, tiga lelaki berkenaan sedang memasukkan daging rusa yang sudah dilapah di belakang kenderaan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Katanya, beberapa barangan lain turut dirampas iaitu 16 butir peluru pelbagai jenama, sebilah pisau dan sebuah buku lesen senjata api.

Beliau berkata ketiga-tiga lelaki dari Kelantan itu ditahan di Balai Polis Gerik untuk siasatan mengikut Seksyen 60 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716), jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya," katanya.

Menurutnya, rusa sambar haiwan yang dilindungi dan menjadi kesalahan bagi sesiapa mengambil atau memburunya tanpa lesen sah.

Beliau berkata, daging haiwan itu dijual di pasaran tempatan dengan harga antara RM40 dan RM60 sekilogram.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mac 2016 @ 9:26 PM