FOTO ihsan Yuna
Oleh Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Penyanyi Yunalis Zarai atau Yuna, 29, terharu apabila bintang R&B dunia, Usher sudi berduet dengannya menerusi single terbaru berjudul Crush.

Menurutnya, dia tidak sangka penyanyi dari Amerika Syarikat (AS) itu menerima tawarannya meskipun dia masih baru di sana.

Yuna juga menganggap peluang itu sebagai satu penghormatan besar buatnya.

“Saya tidak dapat gambarkan betapa gembiranya saya apabila akhirnya impian itu tercapai. Siapa sangka dia sudi bekerjasama dengan artis baru seperti saya dan percaya dengan bakat saya.

“Walaupun kami tidak merakamkan lagu itu bersama, tetapi bekerja dengannya memang sangat senang. Dia seorang yang sangat merendah diri dan profesional,” katanya kepada Harian Metro menerusi perbualan telefon sebentar tadi

Baru-baru ini, penyanyi berpangkalan di Los Angeles, AS, itu mengumumkan bakal melancarkan album terbarunya berjudul Chapters pada 20 Mei akan datang.

Bersempena album terbabit, Yuna juga bakal mengadakan konsert jelajah di AS pada April dan Mei ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mac 2016 @ 2:47 PM