USTAZ Bad popular melalui rancangan Cinta Ilmu di televisyen AlHijrah.
BERSAMA penonton yang menyertai rakaman rancangan Cinta Ilmu.
Oleh Rodly Fadly
rencana@hmetro.com.my


Kepetahannya berbicara yang diselang-seli dengan seloka serta perumpamaan dan bidalan Melayu ditambah dengan fakta sejarah meletakkan Datuk Badli Shah Alauddin sebagai agamawan yang membawa dimensi baru dalam bidang dakwah.

Mesra dengan panggilan Ustaz Bad, beliau dilihat sebagai pendakwah yang membuat ‘kerja rumah’ sebelum membicarakan sesuatu topik. Kemampuannya menghuraikan sesuatu isu dengan angka dan fakta sering menarik perhatian.

Malah, apabila mengimbas sejarah berkaitan topik dibincangkan, beliau mampu mengingati fakta termasuk tahun kejadian serta menghuraikannya dengan terperinci.

Inilah kelebihan anak kelahiran Kampung Berkat, Maran, Pahang, ini berbanding pendakwah lain ketika muncul dalam rancangan televisyen seperti Cinta Ilmu (TV Al-Hjirah), Forum Perdana Ehwal Islam (RTM), Halaqah (TV9) atau di pentas dakwah lain di seluruh negara.

Apa yang agak menarik ialah sewaktu kanak-kanak, Ustaz Bad tidak pernah terfikir akan menjadi pendakwah kerana cita-cita asalnya jauh menyimpang daripada kerjaya sekarang.

“Sebenarnya cita-cita saya dahulu hendak jadi seniman seperti (Tan Sri) P Ramlee. Langsung tidak pernah terlintas hendak jadi ustaz,” katanya.

“Saya membesar dengan filem dan lagu P Ramlee. Bukan saya seorang, malah seluruh ahli keluarga saya meminati Seniman Agung itu. Setiap kali filem lakonannya ditayangkan, saya tidak jemu menontonnya sehinggakan dapat menghafal dialog daripada filemnya terutama komedi.

“Saya juga boleh mengingati semua lagu dalam filem P Ramlee. Sebut saja nama filem, saya boleh sebut judul lagu daripada filem itu.

“Saya sangat kagum dengan kebolehan P Ramlee sebagai pengarah, pelakon, penyanyi dan penggubah lagu. Saya rasa dalam dunia ini hanya dia seorang yang ada bakat sebegitu,” kata Ustaz Bad.

Pengaruh P Ramlee yang besar dalam dirinya menyebabkan beliau mula berangan-angan mahu menjadi seniman. Apatah lagi ibu bapanya, Azizah Mahmud dan Alauddin Abd Jalil, kedua-duanya guru, juga aktif dalam pelbagai bidang seni seperti menyanyi, berlakon drama pentas dan radio serta menulis skrip drama.

“Agaknya, inilah yang mempengaruhi saya untuk menjadi orang seni. Semasa di bangku sekolah, saya turut aktif dalam pelbagai kegiatan seni seperti berlakon dan bermain muzik. Emak dan ayah tidak pula pernah menghalang.

“Ketika itu saya mula menanam cita-cita untuk menjadi orang seni. Saya mahu terkenal seperti P Ramlee. Boleh menyanyi, berlakon dan bermain alat muzik.

“Tapi, sayang, cita-cita itu tersekat tanpa sempat saya membuka langkah lebih jauh. Rupa-rupanya, ayah bukan saja tidak merestui cita-cita saya itu, malah dia sudah ada perancangan lain.

“Kata ayah, sebagai anak sulung daripada 12 beradik, dia mahu saya menjadi contoh. Masuk tingkatan satu, ayah hantar saya ke Sekolah Menengah Agama Al-Ehsan di Kuantan.

“Saya benar-benar kecewa dengan keputusan ayah. Saya tahu apabila dah masuk sekolah agama, habislah cita-cita saya nak jadi anak seni.

“Walaupun membantah, ayah bertegas menghantar saya ke sekolah agama. Ketika itu jiwa saya memberontak tapi tak berani memprotes secara terang-terangan. Saya akur dan masuk ke sekolah itu.

“Bayangkan, ketika sedang seronok menghafal lagu P Ramlee, tiba-tiba disuruh menghafal al-Quran. Nak jadi seniman disuruh jadi ustaz, mana ada jalan...” kata Ustaz Bad sambil ketawa kerana lucu mengenang­kan kisah silamnya itu.

Kemuncak kepada pemberontakan itu, beliau mengambil keputusan nekad lari dari asrama dan pulang ke rumah dan memberi pelbagai alasan kepada ayahnya dengan harapan dapat bersekolah semula di sekolah biasa bagi meneruskan semula minatnya dalam bidang seni.

Tetapi Cikgu Alauddin tidak mudah termakan dengan helah anaknya, sebaliknya bertegas mahu dia meneruskan pelajaran di sekolah agama. Kali ini Ustaz Bad dihantar ke Sekolah Agama Maran berdekatan kampung halamannya.

Lama-kelamaan, Ustaz Bad dapat menerima keputusan ayahnya sehingga berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar dan pulang dengan segulung ijazah pada 1999 dalam bidang Tafsir Al-Quran. Sebelum ke Mesir, beliau menuntut di Universiti Malaysia Terengganu dalam bidang Falsafah dan Tamadun Islam serta Kolej Universiti Sultan Zainal Abidin (KUSZA) dalam jurusan Dakwah (diploma).

Walaupun belajar dalam bidang agama, darah seni masih mengalir dalam tubuh Ustaz Bad. Semasa di Kusza dan Universiti Malaysia Terengganu, beliau aktif dalam pementasan teater.

“Saya bukan berlakon tapi lebih banyak terbabit sebagai orang di belakang tabir terutama bermain muzik. Saya boleh bermain pelbagai alat gendang,” dedah Ustaz Bad.

Sekembalinya dari Mesir dan bertugas di Jabatan Agama Islam Pahang, Ustaz Bad meneruskan minat seninya de­ngan berlakon drama radio bersama Pahang FM. Kini, dek kerana kesibukan berdakwah, beliau terpaksa melupakan semua kegiatan seni itu.

“Kalau saya tak jadi pendakwah, sudah tentu sekarang saya sudah jadi orang seni. Namun, saya tak menyesal. Pilihan ayah saya itu tepat. Kalaulah tidak kerana ketegasan ayah, tak mungkin saya jadi pendakwah seperti sekarang,” katanya.

Beliau percaya pengalaman membuat persembahan di pentas mengajarnya bagaimana berdepan dengan audien ketika memberi ceramah atau dakwah. Kombinasi bakat seni dan ilmu agama itulah yang kini menjadikan Ustaz Bad pendakwah disenangi ramai kerana kepetahan dan kepintarannya berhujah.

“Saya mahu apa yang disampaikan benar-benar difahami khalayak. Saya tak mahu mengupas sesuatu topik hanya secara sepintas lalu tapi perlu mendalam bersandarkan fakta.

“Sebab itu sebelum muncul dalam sesuatu program, saya akan membuat kerja rumah, mencari fakta mengenai topik yang akan saya bincangkan,” katanya.

Mengenai fakta sejarah yang sering dijadikan bahan dakwahnya, Ustaz Bad menjelaskan, ia diperoleh melalui pembacaan buku sejarah. Apatah lagi, beliau memang meminati subjek sejarah sejak di bangku sekolah, malah kini terbabit secara langsung sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Persatuan Sejarah Malaysia cawangan Pahang.

“Selalunya sebelum berceramah, saya akan menyelidik sedikit latar belakang atau sejarah sesuatu tempat ceramah itu diadakan. Contohnya, jika saya berceramah di Parit Jawa, Johor, saya akan selitkan sedikit dialek Jawa dan sejarah tempat itu. Dengan cara itu, penonton lebih berminat mendengar ceramah saya,” katanya.

Menurut Ustaz Bad, sebagai pendakwah, beliau perlu mempelbagaikan cara dakwahnya supaya orang tidak bosan. Sebab itu sesekali, beliau menyelitkan cerita teladan dan kata-kata kiasan dalam dakwahnya.

“Kalau cara penyampaian kita sama saja sepanjang masa, orang akan bosan dan akhirnya tidak akan mendengar ceramah kita lagi,” katanya.

Namun, dalam nada merendah diri, Ustaz Bad berkata, beliau bukanlah seorang pendakwah hebat.

“Saya ibarat budak yang baru belajar, kalau salah tolonglah tegur,” kata beliau.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mac 2016 @ 1:03 PM