FOTO Hatim Ab Manan
Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@mediaprima.com.my


Jasin: Sebuah lori tangki yang membawa muatan Asid Nitrik mengalami tumpahan selepas kenderaan berat itu terbabas ke dalam longkang di kawasan Hentian Bemban mengala arah selatan di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, lori tangki berkenaan yang dalam perjalanan dari Pelabuhan Klang menuju ke Pasir Gudang dipercayai hilang kawalan ketika mahu memasuki kawasan rehat berkenaan.

Jurucakap bomba berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 1.28 pagi tiga jentera masing-masing dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh, BBP Alor Gajah dan BBP Bukit Katil serta EMRS bersama 30 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Lori tangki berkenaan dipercayai membawa sebanyk 23 tan Asid Nitrik dan pasukan hazmat terpaksa menggunakan Soda-S bagi neutralkan asid berkenaan sebelum kerja pembersihan dilakukan.

"Sejak jam 1.30 pagi tadi hingga tengah hari ini hentian rehat ditutup kepada orang awam sehingga kerja pembersihan selesai dijalankan oleh Jabatan Alam Sekitar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mac 2016 @ 12:50 PM