Oleh Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


Kumpulan Nico pernah menjadi fenomena apabila membawa masuk aliran muzik hip hop dalam industri hiburan tanah air satu ketika dulu. Menerusi lagu Inilah Nasibku, mereka berjaya menawan hati pencinta muzik khususnya golongan muda, malah ia masih menjadi siulan hingga ke hari ini.

Sekian lama menyepi, kumpulan yang dianggotai Nico, Affa dan Dino ini kembali menggegarkan industri dan mahu dikenali sebagai Nico G.

Lebih menarik, lagu popular mereka, Inilah Nasibku diberi nafas baru dan menjadi runut bunyi filem Showdown The Movie.

Mewakili rakannya, Affa mengakui teruja dapat bertemu semula dengan peminat, malah kagum dengan penerimaan orang ramai terhadap muzik hip hop.

“Syukur, kami berpeluang kembali aktif dalam industri dan berbesar hati apabila Inilah Nasibku dijadikan lagu tema filem Showdown The Movie.

“Dalam versi lama, kami menggunakan suara penyanyi koir Filipina yang menetap di Amerika Syarikat untuk bahagian korus, tetapi untuk versi baru ini kami gantikan dengan suara Amylea Azizan,” kata Affa.

Tambahnya lagi, video muzik lagu itu siap dirakam dan diarahkan sutradara filem Showdown The Movie, Khairil M Bahar.

Berkongsi perjuangan mereka sebelum wujudnya muzik hip hop di Malaysia, Nico berdepan pelbagai cabaran.

“Alhamdulillah, usaha kami dulu nampaknya tidak sia-sia apabila penerimaan masyarakat terhadap muzik hip hop hari ini sangat baik.

“Ketika bawa masuk genre ini pada 1992, macam-macam benda terpaksa kami tempuhi. Bukan kerja mudah bawa aliran baru apabila genre Rock mendominasi industri dan menjadi pilihan utama stesen radio.

“Bayangkan, kami terpaksa ke Amerika Syarikat untuk menghasilkan lagu,” kata Nico.

Tambahnya lagi, pembaharuan yang cuba diketengahkan itu menjadi pertikaian banyak pihak baik soal muzik mahupun fesyen yang digayakan.

“Apabila berbeza daripada kebiasaan, pasti sukar ambil masa untuk diterima.

“Berbanding muzik hip hop hari ini, kami tetap menyelitkan elemen kemelayuan ketika itu.

“Walaupun dikecam teruk, kami tetap teruskan perjuangan kerana mahu berikan alternatif kepada pendengar,” katanya lagi.

Sebelum ini, Nico G pernah membuat kemunculan semula pada 2014, namun disebabkan beberapa perkara tidak dapat dielakkan, banyak agenda yang dirancang terpaksa ditunda.

“Pada 2014, ada beberapa insiden berlaku antaranya kehilangan pesawat MH370 dan tragedi MH17. Tidak manis jika kami teruskan agenda dirancang kerana negara sedang berkabung.

“Tahun ini, kami sekali lagi mencuba nasib dan syukur setakat ini berjalan lancar,” katanya.

Mengulas perkembangan selepas setahun membuat kemunculan semula, Nico G banyak memenuhi undangan persemabahan di seluruh negara.

“Kami tidak duduk diam kerana undangan persembahan tidak pernah putus. Seiring dengan peningkatkan usia, muzik kami kini lebih matang,” kata Dino.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mac 2016 @ 11:46 AM