Oleh Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penganjuran edisi ke-21 Le Tour de Langkawi (LTdL) boleh dilabelkan berjaya walaupun tempoh kurang tiga bulan diamanahkan kepada pihak penganjur Ciclista Sports Sdn Bhd untuk melaksanakan perlumbaan berstatus 2.HC itu.

Perlumbaan utama dalam kalendar Jelajah Asia yang berakhir kelmarin membabitkan lapan peringkat bermula dari utara ke selatan tanah air sejauh 1,179 kilometer berlangsung lancar tanpa sebarang masalah besar.

Malah lebih membanggakan edisi ke-21 ini melahirkan pelumba Malaysia pertama yang menyarung jersi terbaik Asia sejak kategori itu mula dipertandingkan pada 1998, edisi ketiga LTdL.

Pencapaian Adiq Husainie Othman memberikan kepuasan kepada jawatankuasa penganjuran LTdL apabila melihat nama pelumba tempatan memahat sejarah perlumbaan dengan muncul juara, mengikuti jejak langkah Anuar Manan yang menjuarai Raja Pecut dan satu peringkat perlumbaan pada 2010.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LTdL Emir Abdul Jalal berkata kejayaan pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) melonjak rasa puas dalam penganjuran perlumbaan yang menelan belanja RM15 juta itu.

“Pencapaian ini membanggakan. Sesuatu yang sememangnya diharapkan apabila kita menganjurkan sebarang pertandingan. Kejayaan Adiq menjadikan penganjuran perlumbaan ini cukup sempurna,” katanya.

Mengulas mengenai mutu perlumbaan, beliau berkata, saingan sengit dapat dapat disaksikan terutama dalam perebutan juara individu keseluruhan (jersi kuning) yang membabitkan jurang masa rapat selepas persaingan sengit sehingga peringkat terakhir.

Pelumba Dimension Data Reinardt Janse Van Rensburg merampas jersi kuning pada peringkat keenam untuk menafikan pelumba Astana Pro Team Miguel Angel Lopez sekali gus meranapkan harapan pasukan dari Kazakhastan berkenaan meraih kejuaraan berganda.

Namun pakar pecut Astana Pro Team Andrea Guardini membuktikan dia pelumba terpantas LTdL 2016 apabila memenangi empat daripada lapan peringkat perlumbaan sekali gus melebarkan rekod kemenangan kepada 22 peringkat.

Malah Guardini muncul pelumba pertama meraih gelaran Raja Pecut buat kali ketiga dengan agak mudah selepas meraihnya pada edisi 2011 dan 2012.

Wang Meiyin dari Hengxiang Cycling Team pula memastikan gelaran Raja Bukit apabila strateginya mengungguli zon pendakian sejak peringkat pertama membuahkan hasil ketika perlumbaan berbaki dua peringkat.

Prestasi tiga pasukan tempatan - TSG, skuad negara dan NSC-Mycron turut tidak mengecewakan apabila masing-masing menamatkan saingan dengan baik.

TSG paling cemerlang apabila barisan pelumbanya sering mencabar dengan pencapaian terbaik menerusi Harrif Saleh pada peringkat ketujuh (Seremban ke Parit Sulong) apabila menduduki tempat keempat.

Skuad negara kendalian Syed Hussaini Syed Mazlan tidak lagi berada pada kedudukan terakhir apabila menamatkan saingan di tempat ke-16 daripada 22 pasukan.

Malah persembahan bertenaga pelumba negara terutama Loh Sea Keong yang sentiasa cuba melakukan pemecahan wajar diberikan pujian sehingga tiga kali (peringkat dua, empat dan lima) dianugerahkan ‘combative rider’ atau pelumba paling agresif.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mac 2016 @ 8:33 AM