ROSSI
myMetro

Kuala Lumpur: Pelumba muda dalam pembikinan Yamaha yang beraksi dalam saingan Asia Production 250cc di Kejuaraan Motosikal Asia FIM menerima berita baik apabila berpeluang menjalani latihan di bawah kendalian juara dunia sembilan kali, Valentino Rossi.

Menerusi pengumuman global Yamaha, semalam, jenama terkenal Jepun itu memeterai perjanjian sebagai rakan perniagaan dan pembekal motosikal bersama akademi permotoran milik Rossi, VR46 Riders Academy.

Peringkat awal musim 2016, Yamaha akan memilih pelumba terbaik yang beraksi dalam saingan Asia Production 250cc untuk menjalani latihan di akademi milik juara dunia itu.

Perjanjian itu menyaksikan dua sesi latihan selama seminggu dirancang tahun ini. Barisan pelumba muda terbaik Yamaha di Asia akan menjalani latihan di Akademi Pelumba VR46 termasuk latihan di MotoRanch dan Litar Misano dengan menggunakan jentera YZF-R3 dan YZ250F.

Pelumba terpilih akan menerima latihan daripada Rossi dan jurulatih sepenuh masa di akademi berkenaan.

Pada masa sama Yamaha turut mengumumkan pelumba rasmi mereka yang akan beraksi dalam saingan SuperSports 600cc Kejuaraan Motosikal Asia FIM.

Pasukan Yamaha Factory Racing Team akan diwakili dua pelumba - pelumba handalan Jepun, Yuki Ito dan pelumba meningkat dari Malaysia, Fitri Ashraf Razali.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mac 2016 @ 8:31 AM