Badlisham Ghazali
Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri
dayana@hmetro.com.my

Sepang: Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) sedang menilai peluang bagi mengendalikan sehingga lima lapangan terbang pada tahun ini.

Pengarah Urusannya Datuk Badlisham Ghazali berkata, buat masa ini pihaknya dijangka menyiapkan kertas kerja bagi bidaan dua lapangan terbang sebelum hujung tahun ini.

“Namun, maklumat lanjut berkaitan kedua-dua lapangan terbang ini masih belum boleh didedahkan. Usaha meninjau peluang di pasaran luar adalah sebahagian daripada perancangan lima tahun MAHB dan kami sentiasa mencari peluang terbaik di banyak lokasi,” katanya selepas pelancaran peraduan Eraman Shopping Extravaganza di sini, semalam.

Menurutnya, antara lokasi yang akan dinilai untuk bidaan adalah lapangan terbang antarabangsa di Jeddah.

“Kami dijemput untuk membida bagi mengendalikan lapangan terbang di Jeddah. Namun, buat masa ini, ia masih diperingkat awal dan belum ada maklumat lanjut mengenainya,” katanya.

Badlisham berkata, walaupun banyak tawaran diterima dalam operasi pengendalian lapangan terbang, pihaknya mengambil sikap berhati-hati dalam melakukan pemilihan.

“Kami sedikit cerewet dalam pemilihan lapangan terbang walaupun mempunyai 12 tahun pengalaman mengendalikan lapangan terbang di luar Malaysia.

“Selain rantau Asia, kami juga meninjau peluang di Timur Tengah dan Eropah termasuk lapangan terbang baru atau yang sudah lama beroperasi,” katanya sambil menambah selain lapangan terbang di Malaysia, MAHB juga mengendalikan operasi di Turki, Maldives, Kemboja dan Kazakhstan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mac 2016 @ 7:03 AM