Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Kuala Lumpur: Ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas seorang pegawai kanan polis yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini adalah negatif selepas pihak berkuasa membuat rampasan dadah di kediaman suspek.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Datuk Zubaidah Md Ismail berkata ujian air kencing berkenaan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengikut Seksyen 12 (3) Akta Dadah Berbahaya.

Beliau berkata, tindakan menukar cawangan pegawai terbabit dari unit di mana beliau bertugas adalah prosedur biasa bagi memudahkan proses siasatan dijalankan.

"Pegawai terbabit kini tidak menjalankan tugas-tugas kepolisan dan hanya mengendalikan hal pentadbiran. Penempatan tersebut adalah sementara sehingga SPRM selesai menjalankan siasatan.

“Segala keputusan yang diputuskan mengikut undang-undang," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan pegawai kanan PDRM itu yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman ditahan SPRM bersama wang tunai hampir setengah juta.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 November 2014 @ 7:47 PM