Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Filem seram Munafik, mencatat kutipan memberangsangkan sebanyak RM4.5 juta selepas tujuh hari ditayangkan.

Filem arahan Syamsul Yusof itu turut mendapat ulasan baik daripada pengkritik apabila mengetengahkan cerita yang penuh kejutan dan unsur Islamik.

Syamsul yang juga pelakon utama filem ini berkata, dia bersyukur apabila penonton masih mempercayai karyanya.

"Sebenarnya saya tidak meletakkan harapan tinggi untuk filem ini kerana ia daripada naskhah berat.

"Dalam masa sama, ia adalah filem eksperimen saya dengan menampilkan genre seram Islamik. Apa saya boleh katakan, Munafik adalah karya yang lahir daripada hati saya," katanya kepada Harian Metro.

Syamsul berkata, filem ini juga menjadi filem Melayu pertama mendapat kutipan tertinggi dalam tempoh tujuh hari tayangan di Singapura dan Brunei.

"Saya terkejut dengan sambutan luar biasa di dua negara itu. Apatah lagi tayangan filem ini serentak dengan beberapa filem Hollywood lain.

"Apa pun, saya berserah dan tawakal kepada Allah. Sejak dari awal lagi, saya hanya berharap filem ini balik modal dan tidak rugi," katanya.

Selain Syamsul, Munafik turut menampilkan pelakon seperti Nabila Huda, Fizz Fairuz, Sabrina Ali, Pekin Ibrahim dan A Galak.

Filem terbitan Skop Production ini mula ditayangkan di 112 pawagam di seluruh negara, termasuk Brunei dan Singapura sejak 28 Februari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mac 2016 @ 11:10 AM