Tong gas LPG yang dirampas. FOTO ihsan KPDNKK Johor
Rudy Fazrunisyam Samarudin
am@hmetro.com.my


Johor Bahru: Sebanyak 159 tong 14 kilogram gas petroleum cecair (LPG) subsidi dirampas membabitkan nilai RM23,700 hasil serbuan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi Dan Kepenggunaan Negeri (KPDNKK) Johor di sebuah stor di bandar raya ini, semalam.

Timbalan Pengarahnya, Mohamad Mokhtar Yeop berkata, serbuan Ops Gasak pada 4 petang itu dilakukan hasil pemantauan dan maklumat orang awam.

Katanya, seramai tujuh penguat kuasa KPDNKK Johor terbabit dalam serbuan itu dan mendapati pemiliknya menjual barang kawalan LPG bersubsidi 14 kilogram melebihi kuantiti yang dilesenkan.

"Kesalahan yang dilakukan disiasat mengikut Seksyan 14 Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.

Katanya, fokus Ops Gasak ialah mengatasi ketirisan subsidi dan pada masa yang sama juga pemborong atau pengedar LPG yang berlesen masih tertakluk akan peraturan yang ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mac 2016 @ 10:52 AM