HAIZA dan AG.
Oleh Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


Gandingan penyanyi Haiza dan pengacara popular, AG dijangka memantapkan lagi stesen radio terbaru rangkaian Radio Media Prima (RRMP) iaitu Kool FM, Temanmu, Muzikmu yang mula beroperasi sepenuhnya melalui frekuensi 101.3FM di Lembah Klang dan 90.2FM (Pulau Pinang) bermula jam 6 pagi hari ini.

Pastinya pemilihan Haiza dan AG dalam segmen Pagi di Kool FM (jam 6 hingga 10 pagi) diharap dapat menarik lebih ramai pendengar.

Selain Haiza dan AG, barisan penyampai lain ialah Ezaq yang akan mengendalikan segmen Malam Kool (8 malam hingga 12 pagi), Liza - Muzik di Kool (10 pagi hingga 3 petang), Ikhwan dan Farid -Petang Kool (3 petang hingga 7 malam) dan Profesor Dr Muhaya - Refleksi Kool (7 hingga 8 malam).

Haiza atau nama sebenarnya, Rohaizah Nordin, 36, berkata, dia menerima tawaran menjadi penyampai Kool FM kerana ingin mengembangkan lagi karier seninya.

“Saya menghadiri uji bakat yang diadakan Januari lalu. Alhamdulillah, ada rezeki saya menjadi sebahagian keluarga RRMP. Saya dapat tahu mengenai stesen radio Kool FM dua minggu sebelum ia dilancarkan.

“Saya terima tawaran ini bukan sebab bayaran lumayan, sebaliknya percaya pengurusan RRMP akan membantu mengukuhkan lagi karier saya.

“Saya juga mengikat kontrak dengan RRMP dan bukannya stesen TV. Justeru, saya juga masih boleh terbabit dengan program TV terbitan stesen lain,” katanya.

Ditanya sama ada dia ada masalah dengan pihak pengurusan stesen radio lama sehingga memilih untuk bernaung di bawah pengurusan RRMP, Haiza menafikannya.

“Saya memilih untuk tidak menyambung kontrak dengan stesen radio sebelum ini kerana ada masalah berkaitan keluarga apabila terpaksa terpaksa berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru.

“Saya juga sudah memaklumkan pengurusan radio terbabit saya ada menghadiri uji bakat menjadi penyampai di stesen radio lain. Saya mengundur diri secara baik dan tidak ada isu bergaduh seperti yang difikirkan segelintir pihak,” katanya.

Penyanyi yang popular dengan lagu Dag Dig Dug itu berharap gandingannya dengan AG dapat diterima pendengar.

“Saya yakin boleh serasi dengan AG, tetapi janganlah bandingkan dengan rakan gandingannya sebelum ini iaitu Fara Fauzana kerana dia lebih berpengalaman dan ada kelas tersendiri.

“Walaupun bertugas di Kool FM, saya masih meneruskan karier nyanyian seperti biasa,” katanya yang pernah bertugas di KL FM dan Best FM.

Haiza ditemui pada majlis pelancaran Kool FM yang berlangsung di Pusat Konvensyen Sime Darby, Mont Kiara, baru-baru ini. Majlis pelancaran disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif RRMP, Seelan Paul.

Bagi AG pula, dia melihat gandingan dengan Haiza dalam Segmen Pagi Di Kool FM sebagai satu kelainan.

“Selain Fara, saya pernah bergandingan dengan beberapa artis termasuklah Scha Al Yahya. Sebagai penyampai, saya tidak ada masalah bekerjasama dengan Haiza.

“Kami akan berusaha keras memperkenalkan stesen baru ini kepada orang ramai,” katanya.

Sementara itu, Seelan berkata, pihaknya memilih Haiza kerana penyanyi itu cepat menyesuaikan diri dengan AG ketika uji bakat berlangsung.

“Pengalaman Haiza bertugas di konti radio sebelum ini memberi kelebihan kepadanya. Ketika uji bakat gandingannya dengan AG menjadi, malah mereka serasi.

“Kami mencari penyampai yang boleh mengendalikan segmen pagi dan Haiza calon paling tepat,” katanya.

Jelas Seelan lagi, Kool FM menyasarkan pendengar Melayu berusia 25 hingga 44 tahun dengan rangkaian lagu pilihan era 80-an dan 90an serta lagu hits terkini tempatan mahupun antarabangsa.

“Sasaran pendengar lingkungan usia itu dilihat lebih aktif mengikuti trend terkini di laman media sosial di mana Kool FM seperti stesen radio lain di bawah RRMP akan memaksimumkan medium itu bagi mendekati pendengar.

“Melalui Kool FM, kami yakin mampu meneroka lebih banyak idea kreatif. Kami turut merancang pelbagai kempen dan kolaborasi antara Hot FM dan Kool FM yang bakal memberi impak positif kepada pendengar.

“Sebelum ini stesen radio lain di bawah RRMP lebih fokus kepada Gen Y, tetapi dengan adanya Kool FM, kami yakin dapat ketengahkan lebih banyak idea menarik,” katanya.

Tiga lagi stesen radio lain yang bernaung di bawah RRMP ialah Hot FM, Fly FM dan One FM.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mac 2016 @ 10:51 AM