Azree Feekree menerima anugerah daripada Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid di Putrajaya, hari ini. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Hayati Ibrahim dan Nursyahirah Marzuki
am@hmetro.com.my

Putrajaya: Dia buta, namun berkat kesungguhan, hari ini menjadi kenangan manis buat dirinya apabila memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2015.

Lebih manis, Azree Feekree Zamzuri, 20, dari Semenyih, Selangor diumumkan sebagai pelajar cemerlang STPM 2015 bagi Kategori Pelajar Istimewa.

Menurutnya, ayahnya, Zamzuri Mohd Jamain, 55 menghantarnya ke Sekolah Menengah St John, Kuala Lumpur seawal 6 pagi, dan hanya tiba di rumah pada 7 malam walaupun waktu persekolahan tamat pada 3 petang.

"Ayah akan mengambil saya dari sekolah selepas dia pulang dari kerja di sebuah kilang percetakan di Bandar Baru Bangi, Selangor.

"Sementara menunggu ayah datang ambil, saya akan menggunakan masa itu untuk mengulangkaji pelajaran," katanya ketika ditemui pada majlis Penyampaian Anugerah Sekolah Terbaik dan Pelajar Terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Malaysian University English Test (MUET) 2015, di sini, hari ini.

Anak bongsu daripada lima beradik itu mendapat semua A dalam subjek Pengajian Am, Bahasa Melayu; Kesusasteraan Melayu dan Komunikatif serta Sejarah.

Azree Feekree berkata, selain mendapat bantuan daripada ibunya, Zaiton Ibrahim, 55 untuk membacakan bahan rujukan, dia turut memberi tumpuan penuh dalam kelas.

Dia turut membuat rujukan melalui Internet menggunakan perisian khas untuk mengulangkaji.

"Alhamdulillah, kami di Sekolah Pendidikan Khas dibekalkan dengan komputer riba yang dilengkapi perisian bersuara bagi memudahkan kami membuat rujukan.

"Dua kakak saya yang juga cacat penglihatan saya jadikan contoh kerana mereka sudah menamatkan pengajian serta bekerja sebagai guru,"katanya yang bercita-cita menjadi pensyarah Pendidikan Khas.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mac 2016 @ 5:42 PM