Reinardt J V Rensburg (Dimension Data) muncul juara keseluruhan selepas berakhir peringkat kelapan LTdL 2016. FOTO NSTP/ASYRAF HAMZAH
Pelumba pasukan Astana Pro Team, Andrea Guardini (tengah) memenangi peringkat kelapan Batu Pahat-Melaka pada jelajah Le Tour de Langkawi (LTdL) 2016. FOTONSTP/ASYRAF HAMZAH
Oleh Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my


Melaka: Pelumba Astana Pro Team, Andrea Guardini mencatatkan masa dua jam 42 minit 55 saat untuk menjuarai peringkat kelapan dan terakhir Le Tour de Langkawi (LTdL) 2016 yang tamat di Dataran Pahlawan, hari ini.

Pelumba dari Itali itu melebarkan rekod kemenangan kepada 22 peringkat kemenangan dan kali keempat tahun ini.

Guardini turut meraih gelaran Raja Pecut buat kali ketiga selepas edisi 2011 dan 2012 dengan mengumpul 88 mata.

Jakub Mareczko dari Southeast-Venezuela berada di kedudukan kedua manakala pelumba Aisan Racing Team, Shiki Kuroade di tempat ketiga pada saingan peringkat terakhir yang bermula di Batu Pahat sejauh 119 kilometer.

Bagaimanapun tumpuan terarah kepada Adiq Husainie Othman dari Terengganu Cycling Team (TSG) yang melakar sejarah arena berbasikal lebuh raya tempatan apabila muncul pelumba terbaik Asia dengan masa 28'32:31s.

Ia kejayaan pertama pelumba tempatan sejak kategori itu diperkenalkan pada 1998.

Pelumba Dimension Data, Reinardt Janse Van Rensburg yang mengumpul masa 28'31:21s menjuarai kategori individu keseluruhan (jersi kuning).

Manakala Wang Meiyin dari Hengxiang Cycling Team yang menyarung jersi merah sejak peringkat pertama mengesahkan kejuaraan Raja Bukit apabila mengumpul 49 mata.

UnitedHealthCare muncul pasukan terbaik keseluruhan manakala Hengxiang Cycling muncul pasukan terbaik Asia

Saingan edisi ke-21 LTdL berstatus 2.HC yang bermula 24 Januari lalu dianjurkan Ciclista Sports Sdn Bhd membabitkan 22 pasukan dengan lapan peringkat perlumbaan sejauh 1179 kilometer.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mac 2016 @ 5:24 PM