(Dari kiri), Iskandar Zulkarnain, 8, Muhammad Amirul Hafiz, 10, Nur Ainul Huda, 13 dan Ainatul Balqis, 15, mengaminkan doa di pusara ibu bapa mereka di Masjid Makbul Teluk Kumbar, pagi tadi. FOTO Rudy Syareme Sheriffudin
Rudy Syareme Sheriffudin
am@hmetro.com.my


Bayan Lepas: Jenazah suami isteri yang maut dalam kemalangan di Lebuhraya PLUS berhampiran Taman Keladi, Sungai Petani petang semalam selamat dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam, Masjid Maqbul, Teluk Kumbar di sini, 11.45 pagi tadi.

Jenazah aktivis teater, Hanizar Abdul Hamid, 44 dan isterinya, Zaiton Awang, 42, tiba dengan dua van jenazah di masjid kira-kira 11 pagi dari Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah untuk disembahyangkan.

Suasana pilu menyelubungi apabila sanak saudara tidak dapat menahan kesedihan melihat jenazah pasangan suami isteri itu yang terbabit kemalangan ketika mereka dalam perjalanan pulang ke rumah.

Turut hadir, ibu Hanizar, Hasnah Bakar, 70, serta sanak saudara, rakan artis dan sahabat handai.

Arwah meninggalkan empat anak berusia lapan hingga 15 tahun yang kini dijaga Hasnah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mac 2016 @ 2:56 PM