Mazlan (dua dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan dadah dan pistol yang dirampas. FOTO Faris Zainuldin
Rosliza Mohamed
am@hmetro.com.mu


Kota Bharu: Polis menahan enam individu disyaki pengedar dadah termasuk suami isteri dalam serbuan berasingan pada 28 Februari lalu hingga semalam.

Mereka yang berusia 21 hingga 31 tahun itu ditahan di Kampung Kubang Badak, Pasir Mas; Taman Rantau Panjang, Rantau Panjang dan Lorong Chenok, Pengkatan Chepa, di sini antara 2 pagi hingga 12.10 tengah hari.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata, dalam serbuan itu pihaknya turut merampas dua pistol dan dadah jenis pil kuda, syabu, Eramin 5 dan heroin dianggarkan bernilai RM284,356.

"Antara yang ditahan ini adalah saki baki Kumpulan Fuad dan Geng Baung yang aktif mengedar dadah.

"Semua suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata 1960," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.

Beliau berkata, usaha memburu saki baki kumpulan pengedaran dadah aktif masih dijalankan hingga kini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mac 2016 @ 1:12 PM