Oleh Dr Rajini Sarvananthan - Pakar Perunding Perkembangan Kanak-Kanak

Perkembangan fizikal seorang kanak-kanak bukan sekadar merujuk kepada ketinggian, berat atau susuk badannya. Ia juga termasuk aspek lain iaitu pergerakan tubuh anak anda.

Sebagai contoh, apabila kanak-kanak mencapai umur persekolahan (lazimnya pada usia enam atau tujuh tahun), mereka belajar menulis, melukis dan menggunakan peralatan seni seperti pensel, pen penanda, kapur, berus serta pelbagai teknologi lain. Ini semua sebahagian daripada kumpulan kemahiran motor halus mereka.

Kemahiran motor kasar pula merangkumi kebolehan mengawal dan mengimbang ketika berjalan, memanjat, berlari, melompat, meloncat dan berkawat. Kemahiran ini dipelajari melalui aktiviti berstruktur dan tidak berstruktur serta pengalaman lain ketika di tadika atau di rumah bersama anda.

Kemahiran ini penting ketika persekolahan dan ia akan kerap digunakan. Beberapa kemahiran berkenaan juga mungkin menjadi asas bagi mereka bersukan atau melakukan aktiviti fizikal lain dengan lebih cergas. Anda juga harus cuba memantau pertumbuhan fizikal anak anda dari semasa ke semasa dengan mengukur Indeks Jisim Tubuh bagi umur mereka.

Bantu anak anda bersedia secara fizikal bagi menghadapi cabaran di sekolah dengan memberi:

Pemakanan yang sihat

Makanan membekalkan tenaga dan pemakanan yang sempurna untuk anak anda membesar dan merealisasikan potensinya. Maka, sediakan diet seimbang untuknya sekurang-kurangnya tiga hidangan sehari.

Sarapan ialah hidangan harian paling penting kerana ia membekalkan tenaga yang diperlukan seorang kanak-kanak untuk kekal fokus, memperbaiki daya ingatan dan mengurangkan ketidakhadiran ke sekolah kerana sakit, selain kebaikan yang lain.

Anda boleh menggunakan Piramid Makanan Malaysia Untuk Kanak-Kanak sebagai panduan untuk menyediakan hidangan seimbang yang sederhana dari segi saiz sajian dan penuh dengan pelbagai khasiat.

Rehat dan tidur secukupnya

Kanak-kanak berusia enam hingga 13 tahun perlu tidur selama sembilan hingga 11 jam. Namun, pada usia ini, banyak masa mereka diperlukan untuk sekolah, sukan dan aktiviti luar seperti kokurikulum serta aktiviti sosial lain.

Tambahan pula, kanak-kanak pada usia persekolahan semakin berminat dengan televisyen, komputer dan Internet. Tidur yang mencukupi penting terutama bagi kanak-kanak kerana ia memberi kesan langsung terhadap perkembangan mental dan fizikal mereka.

Banyak bersenam

Anak anda harus melakukan aktiviti fizikal berintensiti sederhana selama satu jam atau lebih setiap hari atau pada kebanyakan hari dalam seminggu. Mereka harus melakukan beberapa pusingan aktiviti fizikal selama 15 minit atau lebih setiap hari dan mengelakkan daripada menjadi tidak aktif untuk 60 minit atau lebih kecuali ketika tidur.

Hadkan masa menonton kepada tidak lebih dari dua jam setiap hari. Bermainlah kejar-kejar, berkebun atau berbasikal bersama-sama setiap petang. Kanak-kanak yang seronok bersukan dan bersenam akan aktif sepanjang hayat mereka. Ini akan membantu meningkatkan keyakinan diri serta mengurangkan risiko penyakit kronik pada masa akan datang contohnya obesiti, darah tinggi, diabetes dan penyakit jantung.

Kesedaran mengenai kesihatan dan keselamatan

Didik mereka mengenai kepentingan aktiviti pencegahan penyakit contohnya kebersihan, penjagaan gigi atau pendidikan seks dan galakkan gaya hidup sihat sejak kecil dengan menekankan tabiat sihat iaitu elakkan merokok atau minum alkohol dengan tidak bertanggungjawab.

Banyakkan latihan kemahiran motor

Sebagai ibu bapa, anda bukan saja perlu fokus kepada kebolehan menulis dan membaca anak anda, tetapi juga membantu mereka mempelajari kemahiran motor kasar dan motor halus yang mudah (seperti yang disebutkan di atas).

Koordinasi dan keseimbangan kanak-kanak yang lemah akan menyebabkan mereka sukar untuk fokus di dalam kelas, tidak dapat menumpukan perhatian bagi tempoh yang lama dan sentiasa gelisah.

Jelas, kemahiran fizikal memang penting sebagai persediaan untuk ke sekolah. Kemahiran fizikal memberikan anak anda keyakinan diri untuk mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti kerana mereka tahu mereka boleh melakukannya tanpa rasa kekok atau takut. Selain mengajar atau memberi galakan kepada anak anda untuk lebih aktif, anda juga harus menunjukkan teladan yang baik di rumah. Lagipun, ibu bapa adalah model peranan utama setiap anak.

Bagaimanapun, jika anda fikir tumbesaran fizikal anak anda bermasalah atau mengalami gangguan (contohnya hipertiroidisme, kekerdilan dan kekurangan hormon tumbesaran) atau anda bimbang mengenai perkembangannya, berjumpalah doktor untuk mendapatkan nasihat.

**Artikel ini sumbangan program Pengasuhan Positif oleh Persatuan Pediatrik Malaysia dengan kolaborasi bersama rakan kongsi pakar: Persatuan Pemakanan Malaysia, Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia, Persatuan Kesihatan Mental Malaysia, Persatuan Psikologi Klinikal Malaysia, Persatuan Psikiatri Malaysia, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara Malaysia, Persatuan Tadika Malaysia dan Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia.

Pendapat dalam artikel ini adalah pandangan penulis. Bagi maklumat lanjut atau membaca majalah-e Pengasuhan Positif, sila layari www.mypositiveparenting.org. Nantikan Seminar Pengasuhan di KidZania pada 12 & 13 Mac 2016. Untuk keterangan, ­singgah di laman web kami, Facebook atau e-mel ke parentcare@mypositiveparenting.org.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mac 2016 @ 12:41 PM