SAMSUNG Galaxy S7 edge.
SAMSUNG Galaxy S7 edge.
SAMSUNG Galaxy S7 edge.
Oleh Afiq Hanif
afiq_hanif@hmetro.com.my


Pengenalan Samsung Galaxy S7 edge sudah pasti memberi kepuasan kepada si pemakai, apatah lagi dengan versi kedua lengkung kiri dan kanan yang penuh memberi nafas baru kepada banyak ciri boleh masuk.

IT@Metro gariskan tujuh sebab mengapa Samsung Gear S7 edge ini gajet yang patut dimiliki terutama jika anda penggemar telefon pintar.

1. Imej kualiti tinggi, tidak kira siang atau malam malah lokasi

Kemampuan kamera pula lebih baik apabila apertur seluas f1.7 memasukkan lebih banyak cahaya untuk merakam lebih jelas dalam situasi yang gelap.

Merakam foto ketika dalam pencahayaan malap juga kini bukan lagi masalah dengan penambahbaikan pada S7 dan S7 edge yang membenarkan lebih 56 peratus cahaya masuk berbanding S6.

Ciri dinamakan Phase Detection Pixel menjadikannya 100 peratus lebih baik berbanding model lama.

Tidak dilupakan, ciri Motion Panorama dan Selfie Flash yang baru membolehkan pengalaman lebih bermakna kepada pengalaman merakam hanya dengan menggunakan telefon pintar.

2. Rekaan baru yang lebih kemas, lengkung cantik

Ciri rekaan yang menarik dengan bahan buatan yang bermutu tinggi menjadikan telefon ini lebih menawan kepada pengguna.

Kalau dulu, lensa pada kamera belakang agak tersembul, namun kali ini ia lebih nipis dan seakan-akan tidak kelihatan dari pandangan tepi.

Telefon ini juga mengembalikan semula slot kad memori mikroSD untuk membolehkannya menampung kapasiti storan sehingga 200GB.

3. Kalis air dan debu

Menariknya, Samsung juga menetapkan standard IP68 pada S7 edge untuk menjadikannya kalis air dan habuk.

Mengapa ia penting terutama kepada pengguna Malaysia? Samsung sebelum ini pun sudah memiliki ciri terbabit pada model S5, namun ia dibuang pada S6.

Tabiat pengguna di negara ini yang mungkin sering lalai ketika memegang telefon terutama dalam tandas atau ketika hujan memerlukan ciri terbabit.

4. Sesuai untuk game

Samsung turut memperkenalkan ciri baru sempena penambahbaikan sebanyak 30 peratus pada CPU dan 60 peratus pada GPU berbanding S6 apabila memasukkan fungsi ‘game launcher’ atau pelancar game yang menempatkan aplikasi game yang popular dalam kalangan pengguna telefon pintar.

Pelancar game juga akan menentukan sekiranya pengguna mahu mengoptimumkan kecerahan, penjimatan bateri atau menutup sebarang notifikasi sekiranya sedang bermain game.

5. Simpan ribuan gambar dan video

Slot tambahan yang ditempatkan di bahagian atas bersama slot kad SIM memberi nafas lega apabila kebanyakan pengguna yang berselfie, memasang banyak aplikasi dan kandungan mewah memerlukan memori tambahan.

Sudah pasti, ia langkah paling tepat Samsung mengembalikan semula ciri penting berkenaan.

Samsung tidak menyediakan slot terbabit pada model sebelum ini dan bergantung harap hanya pada storan dalaman 32GB.

6. UX yang ringkas dan kemas

S7 edge pula mempunyai lebih evolusi apabila bahagian tepi kini boleh ditetapkan dengan dua baris yang menempatkan ikon berbanding hanya sebelah sebelum ini.

Namun, skrin home dan kunci yang boleh diubah mengikut citarasa anda pasti memberi kelebihan tersendiri ditambah pula gabungan bersama OS Android 6.0 Marshmallow memang menawan.

7. Bateri lebih lama

Manfaat CPU dan GPU baru Samsung juga menjadikan masa bermain lebih lama mampu dicapai dengan tambahan keupayaan bateri 3600mAh pada S7 edge.

Ia sangat berbeza dengan Galaxy S6 edge dulu yang hanya berkapasiti 2600mAh.

Malah, penggunaan kecerahan skrin maksimum pun tidak menjejaskan kapasiti bateri, selain tawaran mengecas pantas dengan menggunakan kabel atau tanpa wayar.

Telefon ini akan dijual di Malaysia pada 18 Mac nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mac 2016 @ 11:44 AM