Oleh Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my


Parit Sulong, Johor: Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) Adiq Husainie Othman (gambar) berada di landasan tepat untuk melakar sejarah baru arena berbasikal lebuh raya negara sekiranya mampu mengekalkan jersi pelumba terbaik Asia di peringkat kelapan Le Tour de Langkawi (LTdL) hari ini.

Pelumba berusia 25 tahun berkenaan mengumpul 25 jam 49 minit 28 saat untuk mengekalkan kelebihan enam saat berbanding pencabar utamanya dari Aisan Racing Team Masakazu Ito sejak berakhirnya peringkat keempat.

Selain rakan sepasukannya, Anuar Manan yang sudah memahat sejarah memenangi jersi Raja Pecut dan satu peringkat perlumbaan pada edisi 2010, belum pernah pelumba tempatan lain meraih gelaran jersi pelumba terbaik Asia itu.

“Bukan senang untuk memenangi jersi Asia ini. Sejarah menunjukkan sebelum ini, ia dimenangi pelumba terkenal dari Jepun, Iran dan Korea. Ini pencapaian yang membanggakan jika saya memenanginya,” katanya.

Jelasnya peringkat terpanjang dari Seremban ke Parit Sulong semalam, tidak menimbulkan sebarang masalah besar dengan bantuan rakan sepasukan yang turut memerhatikan gerakan pelumba lain yang cuba merampas kedudukannya.

“Namun sasaran pasukan untuk menaiki podium akan diteruskan esok (hari ini) menerusi Anuar dan Harrif Saleh selain mengekalkan jersi pelumba terbaik Asia,” katanya.

Harrif terlepas menaiki podium semalam apabila berada pada kedudukan keempat di belakang trio Itali iaitu Andrea Guardini, Jakub Mareczko dan Andrea Palini.

“Saya sudah bersedia di belakang Guardini ketika saingan berbaki 500 meter namun secara tiba-tiba dihalang Palini. Ini menyebabkan saya terkejut dan sedikit sebanyak menjejaskan usaha untuk memecut ke depan.

“Saya akan berusaha lagi esok (hari ini) dan bekerjasama dengan Anuar, dia lebih pandai apabila membabitkan saingan kriterium,” jelas Harrif.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mac 2016 @ 9:01 AM