Ahmad Zahid ketika majlis perjumpaan Ahli Lembaga Pengawalan dan Perlesenan Pencetakan Al - Quran (LPPPQ) di Putrajaya, hari ini. - Foto FARIZ ISWADI ISMAIL
BERNAMA

Putrajaya: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menubuhkan Jawatankuasa Penyemakan dan Penilaian Hadis bagi menapis dan menyemak hadis bagi menjaga kesahihannya.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata, mesyuarat Jemaah Menteri pada 22 Disember lalu, memutuskan fungsi penapisan dan penyemakan hadis dilaksanakan melalui Jawatankuasa Penyemakan dan Penilaian Hadis.

Katanya dua garis panduan sedang disiapkan bagi melaksanakan fungsi kawalan hadis iaitu Garis Panduan Penerbitan Teks Hadis dan Garis Panduan Penyemakan dan Penilaian Hadis oleh Jawatankuasa Penyemakan dan Penilaian Hadis.

"Pengawalan hadis oleh KDN bertujuan menjaga kesahihan teks hadis, sekali gus mengawal penyebaran hadis palsu dalam masyarakat khususnya melalui penerbitan.

"Pengawalan dan penyemakan hadis akan dibuat terhadap penerbitan termasuk kitab hadis dan buku agama bagi mengawal penerbitan terutama yang boleh membawa penyelewengan akidah, menjejaskan keharmonian dan ketenteraman awam serta perpaduan negara," katanya.

Pada peringkat itu, katanya, kawalan hadis mengguna pakai Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984 dan usaha jangka panjang perlu dilakukan untuk mewujudkan akta khusus bagi mengawal hadis seperti Akta Percetakan Teks Al-Quran (APTQ) 1986 yang khusus bagi mengawal al-Quran.

Mengenai isu Al-Quran, Ahmad Zahid menegaskan bahawa terjemahan Al-Quran tanpa teks bahasa Arab adalah dilarang selaras dengan keputusan Muzakarah Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Islam Kali Ke-24 pada 5 hingga 6 Jun 1989 yang memutuskan ‘adalah haram ditulis atau digunakan mana-mana bahagian al-Quran dengan tulisan yang bukan huruf Arab atau bukan sistem tulisan Al-Quran'.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mac 2016 @ 10:58 PM