Lori tangki yang terbalik selepas kemalangan dengan tiga kenderaan. FOTO ihsan bomba
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


Johor Bahru: Lori tangki yang membawa muatan 35 tan minyak kelapa sawit terbalik selepas terbabit dalam kemalangan dengan tiga kenderaan di hadapan kilang di Jalan Ayer Hitam-Kulai dekat sini, pagi tadi.

Kemalangan kira-kira 10 pagi itu menyebabkan tumpahan minyak kelapa sawit itu sepanjang kira-kira dua kilometer di laluan terbabit.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kulai Pegawai Bomba Kanan II Masnawi Wardjin berkata, pihaknya mendapati berlaku kemalangan membabitan tiga kenderaan iaitu Proton Saga BLM, Toyota Hilux dan sebuah lori yang membawa muatan minyak sawit seberat 35 tan sebaik tiba di lokasi.

"Dua mangsa yang cedera dipercayai dalam Proton Saga BLM dan Toyota Hilux itu sudah dikeluarkan oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian sebelum dibawa ke Hospital Temenggung Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai dekat sini, manakala pemandu lori terbabit selamat," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Razak Md Said berkata, kerja pembersihan tumpahan minyak kelapa sawit itu sedang dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mac 2016 @ 4:11 PM