Mohd Nashir (kanan) menunjukkan pistol yang dirampas. FOTO Amran Hamid
Norul Awatif Romli
awatifromli@hmetro.com.my

Alor Setar: Polis menahan dua lelaki dan merampas sepucuk pistol Pietro Beretta bersama sejumlah peluru 9mm di tepi jalan di di Plaza Tol Jitra arah selatan, Isnin lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Senior Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya berkata, serbuan pada 10.05 malam itu dibuat oleh sepasukan polis dari Cawangan Siasatan Khas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah dan Bukit Aman hasil maklumat awam bersabit kes penyeludupan senjata api.

Katanya, pemeriksaan dibuat pada kereta Toyota Vios dan polis menahan lelaki berusia 27 dan 22 tahun berasal dari Pulau Pinang.

"Pemeriksaan menemui beg pinggang warna merah diletakkan di tempat duduk depan kereta mengandungi sepucuk pistol semi auto jenama Pietro Beretta bersama satu kelopak peluru kosong.

"Turut dijumpai di dalam beg itu dua kotak rokok di dalamnya berisi beberapa butir peluru 9 mm pelbagai jenis dan sarung pistol hitam," katanya pada sidang media di Bilik Media IPK Kedah, di sini, hari ini.

Menurutnya, semakan rekod mendapati suspek berusia 27 tahun mempunyai tiga rekod jenayah bersabit kes curi dan dadah, manakala ujian air kencing mendapati kedua-duanya negatif dadah.

"Hasil siasatan awal, polis percaya pistol berkenaan dibeli dari Thailand untuk kegunaan sendiri atau dijual, namun siasatan lanjut mengenainya akan dijalankan," katanya.

Katanya, kedua-dua suspek ditahan reman sehingga Khamis ini untuk siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti lebih berat) 1971 dan Seksyen 8 (A) Akta Senjata Api 1960.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mac 2016 @ 1:46 PM