AWIE.
Oleh Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


Dalam pada penyanyi, Awie, 48, sibuk merencana kerjaya seninya, dia juga perlu tenang menghadapi kemelut rumah tangga yang belum berakhir. Meskipun pada raut wajahnya tergambar kegembiraan, satu perkara yang Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman tidak boleh sembunyikan adalah susuk tubuhnya yang semakin kurus.

Bagaimanapun, Awie yang juga penyanyi Wings ini menafikan dirinya terkena ilmu hitam seperti didakwa banyak pihak.

“Saya kurus atas kemahuan sendiri. Bukan kerana sakit atau terkena ilmu hitam dan kalau boleh saya tidak mahu bercakap perkara itu. Sebelum ini saya tak menjaga makan, jadi kelihatan berisi. Sekarang saya kurangkan makanan berkarbohidrat,” katanya.

Menurut pelakon filem Dollah Superstar ini, satu lagi punca tubuhnya semakin susut kerana terlalu memikirkan hal rumah tangganya.

“Saya perlu kuat untuk berdepan semua itu. Boleh dikatakan ke mana saja saya pergi, orang sekeliling pasti bertanyakan perkara ini.

“Kalau diikutkan orang lain pasti malu, tetapi saya tidak. Jika saya malu tentu saja saya tidak berada di khalayak ramai, sebaliknya berkurung di rumah,” katanya.

Awie berkata, sikap bekas isterinya yang bercerita masalah rumah tangga mereka sedikit sebanyak membantu mempromosikan lagi namanya.

“Apabila dia memburuk-burukkan dan menghina saya, ia tidak memberi kesan pun. Malah bertambah lagi pahala dan rezeki saya. Alhamdulillah sepanjang dua tahun masalah rumah tangga kami dibicarakan di mahkamah, rezeki saya dalam bidang seni tidak pernah putus.

“Allah SWT masih mengurniakan saya rezeki dan kudrat yang kuat untuk bekerja bagi membesarkan anak,” katanya.

Buat lagak ngeri sendiri

Berkongsi mengenai kerjaya seninya, Awie yang baru selesai menjalani pementasan teater Bikers Kental di Istana Budaya akan kembali menjalani penggambaran filem Bikers Kental 2.

Teruja untuk memulakan penggambaran pada 16 Mac depan di beberapa lokasi di Thailand, Awie menyifatkan sekuel filem ini lebih mendebarkan dan sarat dengan aksi.

“Sejujurnya saya memang meminati filem aksi. Jika filem terdahulu kurang babak aksi, kali ini lebih 90 peratus. Ikutkan pihak produksi menyediakan pelakon lagak ngeri membabitkan watak saya, tetapi saya menolaknya.

“Bukan apa, saya mahu melakukannya sendiri. Pada masa sama, saya masih mampu dan lebih puas jika dapat menjayakannya sendiri,” katanya.

Menurut Awie, kecederaan dialami ketika menjayakan babak aksi perkara biasa. Dia yang sinonim dengan motosikal berkuasa besar menganggap Bikers Kental 2 menaikkan lagi moral setiap penunggangnya apabila memaparkan banyak perkara yang tidak diketahui umum.

“Apabila bercakap soal motor besar, orang akan ingat saya. Bagaimanapun, sejak 1990-an dan sepanjang tempoh itu, tidak ramai yang benar-benar mengetahui berkenaan kelompok penunggang motosikal berkuasa besar itu kecuali melalui filem dan teater.

“Sebab itu saya teruja untuk terbabit sekali lagi dalam filem ini kerana Bikers Kental 2 mempunyai mesej yang baik dan mampu menjadi teladan kepada orang ramai,” katanya.

Malah, Awie menganggap kekuatan filem ini terletak pada hubungan persaudaraan dan semangat setia kawan yang tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mac 2016 @ 10:34 AM