Kuala Lumpur: Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) mengumumkan pembelian enam keretapi baru secara berperingkat bermula Mei 2016 bagi memenuhi peningkatan pertumbuhan bagi dua perkhidmatan relnya iaitu KLIA Ekspres dan KLIA Transit.

Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Mohd Nadzmi Mohd Salleh berkata, pembelian keretapi baru daripada syarikat China iaitu Changchun Railway Vehicles Co Ltd (CRC) dijangka mampu meningkatkan kapasiti penumpang kepada 50 peratus pada 2016 berbanding 40 peratus pada masa ini.

“Pertumbuhan kawasan perbandaran di sepanjang koridor rel kami menjadi faktor kepada peningkatan jumlah penumpang ini dan ia mewujudkan potensi perniagaan dan cabaran baru kepada kami,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian antara ERL dan CRC di sini, semalam.

Pada majlis itu, ERL diwakili Mohd Nadzmi manakala CRC oleh Pengerusinya, Wang Run sambil disaksikan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim; Pengarah YTL Corporation Berhad, Datuk Yeoh Seok Hong dan Ketua Pegawai Eksekutif ERL, Noormah Mohd Noor.

Daripada sejumlah enam keretapi itu, dua keretapi akan digunakan untuk perkhidmatan KLIA Ekspres manakala empat lagi ( KLIA Transit) dimana setiap keretapi mengandungi empat gerabak dan beroperasi pada kelajuan 160 kilometer sejam.

Beliau berkata, CRC dipilih untuk membekalkan keretapi baru kepada ERL berdasarkan rekod cemerlang syarikat itu, pengalaman dan keupayaan menyediakan keretapi yang memenuhi keperluan, spesifikasi serta sesuai dengan sistem rel ERL pada masa ini.

“Kami bernasib baik kerana mempunyai visi untuk memilih sistem terbuka dan daya jangka yang menggunakan laluan standard sekali gus membenarkan ERL memilih sebarang stok keretapi daripada seluruh dunia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 November 2014 @ 8:13 AM