Oleh Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Malaysia mencatatkan pelaburan yang diluluskan pada tahun lalu mencecah RM186.7 bilion, melepasi purata pelaburan yang ditetapkan iaitu RM148 bilion.

Namun, pelaburan berkenaan berkurangan 21 peratus berbanding RM235.9 bilion yang dicatatkan pada 2014 berikutan kemerosotan ekonomi global yang disebabkan kejatuhan harga minyak dan komoditi, selain dolar Amerika yang lebih kukuh.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata, jumlah pelaburan yang dicatatkan itu meliputi RM39.5 bilion bagi pelaburan langsung asing (FDI) dengan peningkatan 11.8 peratus berbanding RM35.3 bilion pada 2014.

“Pelaburan dalam sektor pembuatan meningkat kepada RM17.7 bilion berbanding RM4.7 bilion pada tahun sebelumnya dan pelaburan domestik (DDI) berjumlah RM150.6 bilion menyumbang 80.7 peratus kepada keseluruhan prestasi dicatatkan.

“Peningkatan ini menjadi petanda baik terhadap inisiatif kerajaan dalam menggalakkan lebih banyak pelaburan domestik dalam memastikan pertumbuhan ekonomi negara,” katanya selepas pengumuman prestasi pelaburan Malaysia bagi 2015, semalam.

Menurutnya, sektor perkhidmatan masih unggul sebagai penyumbang terbesar dalam jumlah pelaburan bagi tahun lalu walaupun jumlahnya merosot 29.5 peratus berikutan kejatuhan nilai projek hartanah.

“Sektor pembuatan pula menarik pelaburan bernilai RM74.7 bilion dengan 680 projek baru berbanding RM71.9 bilion dengan 811 projek pada 2014.

“Koridor ekonomi pula menerima pelaburan bernilai RM25.3 bilion dengan Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak menerima pelaburan terbesar sebanyak RM10.6 bilion,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Azman Mahmud berkata, pihaknya meletakkan sasaran untuk mencapai pelaburan bernilai RM53 bilion dalam sektor pembuatan dan RM68.5 bilion dalam sektor perkhidmatan tidak termasuk hartanah, pada masa depan.

Setakat Februari 2016, pelaburan diluluskan yang ada dalam perancangan bernilai RM33 bilion dengan RM24 bilion dalam sektor pembuatan dan bakinya dalam sektor perkhidmatan. FDI utama tahun ini diunjur dari Belanda, United Kingdom, China dan Jepun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mac 2016 @ 6:49 AM