Leo menang aktor terbaik. FOTO Reuters
Georgie Joseph

Los Angeles : Aktor, Leonardo DiCaprio atau Leo, 41, akhirnya menerima trofi pertamanya selepas 23 tahun di 88th Academy Awards atau Oscars 2016 apabila menang Aktor Terbaik menerusi lakonannya dalam The Revenant, hari ini.

Sebelum ini, Leo pernah dicalonkan sebanyak lima kali dalam kategori Aktor Pembantu Terbaik menerusi What’s Eating Gilbert Grape (1993), Aktor Terbaik untuk The Aviator (2005), Blood Diamond (2007), The Wolf of Wall Street (2014) dan sebagai produser The Wolf of Wall Street untuk Filem Terbaik.

Untuk kategori itu, dia bersaing dengan calon hebat lain termasuklah Matt Damon menerusi filem The Martian, Bryan Cranston (Trumbo), Michael Fassbender (Steve Jobs) dan Eddie Redmayne (The Danish Girl).

Tahun ini, beliau menyapu bersih trofi Aktor Terbaik dalam Critics’ Choice Awards, Golden Globe Awards, Screen Actors Guild Awards, British Academy Film Awards, AACTA Awards, Boston Society of Film Critics, Chicago Film Critics Association Awards dan banyak lagi.

The Revenant turut memenangi trofi Pengarah Terbaik iaitu Alejandro Gonzalez Inarritu manakala Filem Terbaik milik Spotlight. Filem sains fiksyen, Mad Max: Fury Road menang besar dengan enam trofi kesemuanya termasuklah Suntingan Bunyi Terbaik, Suntingan Filem Terbaik, Rekaan Kostum Terbaik, Adunan Bunyi Terbaik, Rekaan Produksi Terbaik, dan Mekap Terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Februari 2016 @ 1:16 PM