Mohammed Noriskand (tengah) didakwa di Mahkamah Sesyen Alor Setar atas tuduhan menerima rasuah pada Jun 2014. FOTO Amran Hamid
Norul Awatif Romli
awatifromli@hmetro.com.my


Alor Setar: Anggota polis didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas dua pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM2,100 daripada seorang wanita pada Jun 2014.

Tertuduh, Konstabel Mohammed Noriskand Othman, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zanol Rashid Hussain.

Mengikut kertas pertuduhan tertuduh yang bertugas di Balai Polis Kuah, Langkawi didakwa menerima rasuah wang tunai masing-masing sebanyak RM100 serta RM2,000 daripada Minah Mat Isa untuk tidak mengambil tindakan ke atasnya kerana disyaki membawa daun ketum.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di dalam Pondok Bit Jeti Kuah jam 8.30 pagi pada 14 Jun tahun lalu.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 16a(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan.

Dalam prosiding sama, tertuduh juga minta dibicarakan atas dakwaan mengikut Seksyen 17a Akta SPRM 2009 kerana cuba untuk memperoleh rasuah berjumlah RM300 daripada individu sama bagi kesalahan sama.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu jam 5.40 petang di sebuah Restoran Nasi Kandar A Ajmal, Jalan Padang Gaong, Langkawi pada 14 Jun 2014.

Tertuduh dibenarkan diikat jamin sebanyak RM2,500 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 30 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM negeri A Hafiizh Abu Bakar, manakala tertuduh tidak diwakili mana-mana peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Februari 2016 @ 11:13 AM