TENGKU Aizan menyerahkan cenderahati kepada Pengurus Pusat Penjagaan Warga Emas Yayasan Teratai, Pang Song Neo.
KAKITANGAN Pusat Perubatan Kinta bersama Tengku Aizan, wakil media dan peserta sesi meja bulat bergambar kenangan ketika lawatan ke pusat perubatan itu.
TENGKU Aizan (kanan) bersama Esther (kiri) dan wakil JKM (tengah) ketika sesi soal jawab mengenai isu warga emas.
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my


Stigma masyarakat cepat menjatuhkan hukum terhadap anak yang sanggup menghantar ibu bapa ke rumah penjagaan orang tua. Bagaimanapun, segelintir rumah penjagaan orang tua tidaklah seburuk atau seteruk yang disangka, bahkan banyak rumah seumpama itu memberi penjagaan berkualiti dan sempurna untuk warga tua yang dihantar anak mereka pada waktu bekerja.

Malah tidak menjadi kesalahan jika anak yang berkerjaya menghantar ibu bapa yang uzur ke rumah penjagaan sementara mereka bekerja, menjemput mereka kembali ke rumah selepas waktu kerja dan mengambil alih tugas menjaga ibu bapa mereka.

Dengan kemudahan serba moden zaman ini, semakin banyak pusat penjagaan warga tua disediakan dan kebanyakannya diisi dengan aktiviti bagi membolehkan mereka bergaul dan kekal aktif.

Pengarah Institut Gerontologi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Tengku Aizan Tengku Abdul Hamid berkata, anak yang menghantar ibu bapa mereka yang sudah tua sama ada untuk penjagaan harian atau ditinggalkan di kediaman khas tidak seharusnya dipandang serong. Ini kerana kebanyakan pusat itu mempunyai kemudahan dan sumber yang mencukupi untuk memastikan penghuninya selesa dan bebas melakukan aktiviti disukai.

Katanya, tidak adil untuk melabelkan anak sebagai tidak bertanggungjawab atau menuduh jika mereka memilih untuk meninggalkan mereka di rumah penjagaan. Rumah penjagaan seumpama itu membantu mengatasi dilema yang dihadapi anak yang terlalu sibuk dengan kerjaya untuk menjaga ibu bapa, lebih-lebih lagi ibu bapa yang uzur dan memerlukan rawatan perubatan dan bantuan untuk menjaga diri mereka agar sentiasa bersih untuk beribadat.

“Sudah tentu saya tidak menafikan hakikat terdapat segelintir anak meninggalkan ibu bapa di pusat penjagaan atau rumah orang tua tanpa rasa tanggungjawab, tetapi terdapat ramai juga anak yang menghantar ibu bapa mereka di sana dengan niat yang baik kerana tiada orang dapat menjaga ibu bapa terutama yang uzur dengan sempurna ketika ketiadaan mereka di rumah kerana keluar bekerja.

“Pusat jagaan harian adalah jalan terbaik untuk anak menghantar ibu bapa mereka di sana pada sebelah pagi dan menjemput mereka kemudian selepas kerja. Malah, jika ibu bapa ini sakit, semua keperluan mereka akan disediakan dengan baik di pusat itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan sesi meja bulat bersama media bertajuk Keterangkuman Umur dan Persekitaran Menyokong di Ipoh, Perak baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor UPM, Prof Datuk Dr Mad Nasir Shamsudin, Ketua Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga Kementerian Kesihatan, Dr Mohamad Salleh dan Presiden Majlis Kebangsaan Warga Emas, Datuk Dr Soon Ting Kueh.

Program itu bertujuan berkongsi maklumat mengenai penuaan penduduk, menggalakkan pendekatan holistik untuk memahami usia tua dan mengukuhkan penggunaan data penyelidikan melalui pembabitan media dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat Malaysia yang lebih tua.

Program itu turut membawa wakil media ke beberapa pusat penjagaan warga tua di sekitar negeri itu antaranya Pusat Penjagaan Warga Emas Yayasan Teratai, Pusat Perubatan Kinta yang memiliki pusat penjagaan untuk warga tuanya sendiri yang dikhaskan buat mereka yang memerlukan rawatan perubatan dan penjagaan khusus, Pusat Jagaan Harian Dementia, Perkampungan Persaraan Green Acres dan Loj Persaraan YMCA yang kedua-duanya dalam proses pembinaan.

Sementara itu, Tengku Aizan yang juga Presiden Persatuan Gerontologi Malaysia (GEM) berkata, dengan Malaysia dijangka menjadi negara tua pada 2030, penting untuk warga emas membabitkan diri dalam aktiviti yang berfaedah sebagai satu cara untuk meningkatkan umur secara aktif.

Katanya, persaraan tidak bermakna warga emas perlu menjalani gaya hidup yang tidak aktif. Inilah masa untuk mereka menjadi aktif dan melakukan sesuatu untuk diri mereka sendiri berbanding dengan masa mereka di tempat kerja apabila hampir semuanya dilakukan demi ketua mereka.

“Dengan melakukan aktiviti yang bermakna kepada mereka seperti berkebun dan membersihkan tempat awam, bukan saja membantu mereka bersosial, malah membuat mereka lebih sihat. Selain itu, ia juga penting untuk warga tua mengamalkan pemakanan yang baik dan seimbang, tidur yang cukup dan tidak terlalu risau,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Tengku Aizan mendedahkan bahawa rumah penjagaan orang tua tidak berdaftar yang menggaji pekerja asing untuk menjaga warga tua menimbulkan dilema kepada kerajaan kerana sukar mengawal selia kualiti penjagaan yang disediakan.

Beliau berkata, pengusaha rumah penjagaan itu melihat keperluan ketat yang ditetapkan di bawah Akta Pusat Jagaan 1993 sebagai penghalang dan melihat penjagaan warga tua ini daripada perspektif perniagaan saja.

“Terdapat keperluan bagi mereka untuk mendaftar dan mengikuti standard yang dikehendaki kerana tugas kami memastikan penghuni mendapat penjagaan terbaik.

“Sebaliknya, mereka mengambil pekerja asing tidak terlatih yang dibayar gaji sebagai pembantu rumah untuk menjaga warga tua,” katanya ketika sesi soal jawab bersama media.

Mengulas lanjut, Tengku Aizan berkata, setakat ini, rekod rasmi Kementerian Kesihatan menunjukkan 268 rumah penjagaan saja yang berdaftar di negara ini berbanding kira-kira 1,000 yang beroperasi tanpa lesen.

“Ia satu dilema sebenar kerana jika kita membuat keputusan untuk mengambil tindakan dan menutup rumah yang tidak berdaftar, di mana kita akan menempatkan orang tua yang pada masa ini di bawah jagaan mereka?

“Sehingga kini, tiada undang-undang yang memerlukan rumah penjagaan untuk menggaji individu dilatih untuk menjaga warga tua, tetapi kerajaan sedang merangka peraturan bagi memastikan penjagaan dan perlindungan untuk mereka.

“Sudah tiba masanya peraturan baru diwujudkan memandangkan jumlah orang tua yang meningkat di negara ini memerlukan penyelarasan semula peruntukan kesihatan dan penjagaan sosial,” katanya.

Katanya, sukar bagi pasukan penyelidikannya di UPM untuk mengumpul maklumat dari rumah ini untuk mengkaji dan mewujudkan kualiti latihan yang diperlukan kerana keengganan mereka untuk memberi kerjasama.

“Apabila kami berada di pintu mereka, mereka tidak melayan sedangkan bukan tanggungjawab kami untuk mengambil tindakan terhadap mereka.

“Bagaimana kita boleh mencapai standard kualiti apabila kita tidak boleh mendapat akses kepada rumah berkenaan? Kami benar-benar memerlukan kerjasama mereka supaya kita boleh mewujudkan standard kebangsaan bagi penjagaan orang tua.

“Sudah tentu kita boleh berhujah bahawa kita sentiasa boleh belajar berdasarkan standard yang disediakan di Amerika Syarikat atau United Kingdom, tetapi apa yang ada tidak semestinya sesuai dengan nilai dan pembangunan ekonomi di negara ini,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Dementia Perak, Prof Dr Esther G Ebenezer berkata, amat penting pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membuat lawatan mengejut ke rumah penjagaan tanpa mengira status pendaftaran mereka.

“Di Australia sebagai contoh, pegawai kebajikan boleh pada bila-bila masa membuat lawatan di rumah penjagaan untuk memastikan mereka beroperasi mengikut peraturan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Februari 2016 @ 5:01 AM