KEITH Foo.
Oleh Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


Selepas filem Ombak Rindu mencetuskan fenomena dengan kutipan mencecah RM11 juta di pawagam pada 2011, karya yang diadaptasi daripada novel Fauziah Ashari ini bakal diangkat ke pentas berprestij Istana Budaya (IB) pada 22 April hingga 1 Mei nanti.

Teater arahan A Aris Kadir dan terbitan CTRA Production ini juga mempertaruhkan gandingan Keith Foo dan Zarina Zainoordin selaku teraju utamanya. Secara peribadi, Keith mengakui dia terima tawaran beraksi dalam pementasan itu kerana ingin mencabar dirinya berlakon di pentas teater buat julung kalinya.

“Sebenarnya, sudah banyak kali IB menawarkan saya berlakon teater, tetapi saya terpaksa menolaknya kerana belum ada keyakinan sebelum ini. Namun, apabila ditawarkan berlakon dalam teater Ombak Rindu, saya sukar menolaknya kerana percaya sampai masanya saya melangkah ke pentas teater pula,” katanya.

Sebagai pelakon berpengalaman dan pernah menempa nama di Indonesia, Keith mengakui dia tidak mahu hanya dikenali sebagai pelakon drama dan filem semata-mata.

“Saya juga ingin mengembangkan bakat ke pentas teater, sekali gus mengukuhkan nama sedia ada. Saya akui watak Hariz (lakonan Aaron Aziz) ini berat, tetapi dengan sesi latihan intensif bersama pengarah dan barisan pelakon sehingga menjelang hari pementasan, saya yakin dapat menjiwai watak itu seperti dikehendaki skripnya.

“Saya harap lakonan dalam teater Ombak Rindu akan menjadi platform terbaik untuk saya menempa nama di pentas teater pula,” katanya.

Keith berkata, dia terpaksa menolak banyak tawaran berlakon drama kerana ingin memberi fokus pada pementasan Ombak Rindu.

“Maklumlah, saya baru kali pertama berlakon teater dan pastinya ingin memberikan sepenuh komitmen pada sesi latihan untuk memberikan yang terbaik pada pementasan berkenaan.

“Saya juga sudah membaca skrip teater Ombak Rindu untuk memahami naskhah dan watak Hariz kerana teater dan filem adalah dua cabang seni yang berbeza. Walaupun pernah mengikuti kelas teater di Indonesia, tetapi saya melihat berlakon teater lebih mencabar berbanding drama dan filem kerana kita berinteraksi secara langsung dengan penonton,” katanya.

Keith ditemui pada sidang media yang berlangsung di IB, baru-baru ini. Hadir sama, Ketua Pengarah IB, Datuk Mohamed Juhari Shaarani dan Penerbit CTRA Production, Siti Rohayah Attan serta penulis skripnya, Rosminah Tahir.

Ditanya sama ada dia bersedia dibandingkan dengan Aaron dalam filem Ombak Rindu, kata Keith, dia percaya setiap pelakon ada kekuatan mereka yang tersendiri.

“Saya bersedia menerima apa saja kritikan positif mahupun negatif. Saya juga tidak kisah jika orang anggap saya sekadar pilihan kedua selepas Aaron. Malah, jika Aaron ditawarkan watak utama pun, saya bersedia bergandingan dengannya dalam teater ini.

“Apapun, saya akan membawakan watak Hariz dengan cara tersendiri. Begitu juga watak heroin, saya tidak kisah digandingkan dengan pelakon popular ataupun yang masih baru,” katanya.

Masih mencari watak Izzah

Bukan mudah untuk melakonkan karakter Izzah seperti yang digambarkan dalam novel Ombak Rindu. Jika dalam filem Ombak Rindu, penonton tersentuh dengan watak Izzah lakonan Maya Karin, pastinya ramai menaruh harapan yang tinggi pada watak heroin yang akan berlakon dalam teater ini.

Menurut Siti Rohayah, pihaknya masih mencari pelakon popular yang akan melakonkan watak Izzah dalam pementasan ini.

“Pihak kami sudah menyenaraikan beberapa pelakon wanita popular, tetapi masih belum memutuskan siapa yang memegang watak Izzah. Wataknya dalam teater ini lebih banyak konflik kerana ia membabitkan kompilasi daripada siri novel Ombak Rindu pertama sehingga ketiga,” katanya.

Bagaimanapun, kata Siti Rohayah, pihaknya menjanjikan pementasan yang berbeza daripada filem Ombak Rindu.

“Hanya 10 peratus saja babak daripada filem Ombak Rindu yang diadaptasi dalam teater ini.

“Selebihnya adalah kesinambungan daripada novel Ombak Rindu yang kedua dan ketiga,” katanya.

Antara barisan pelakon yang turut berlakon dalam teater ini ialah Zaidi Omar, Karl Shafek, Izzue Islam dan dua lagi anggota kumpulan Forteen.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Februari 2016 @ 5:01 AM