PEMAIN Johor DT meraikan gol kedua jaringan Diaz (tiga kanan).
Oleh Malik Muhamad
sukan@hmetro.com.my


Kuala Terengganu: Episod duka terus menghantui skuad Terengganu apabila mudah tewas kepada Johor Darul Ta’zim (Johor DT) 2-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) Gong Badak malam tadi.

Skuad Peteh Terengganu Peteh yang masih lagi terasa selepas ditunjukkan jalan keluar dalam saingan Piala FA sepatutnya menyalahkan diri sendiri berikutan aksi kurang mantap semua posisi.

Kehadiran ketua jurulatih baharu Mike Mulvey yang mengambil alih tugas Ahmad Yusoff kerana direhatkan juga belum menampakkan perubahan daripada segi taktikal walaupun beraksi di laman sendiri.

Namun, apa yang pasti corak permainan hambar dan terlalu berhati-hati diperagakan kedua-dua pasukan membosankan lebih 15,000 penyokong pada 20 minit pertama.

Rentak permainan tuan rumah sedikit berubah dengan percubaan pertama hadir pada minit ke-26 melalui rembatan pemain pertahanan Yong Kuong Yong yang terkena pertahanan pelawat.

Tersentak dengan asakan itu pemain pelawat memperkemaskan gerakan dan hasilnya seminit kemudian S Chanthuru mudah memperdaya penjaga gol Sharbinee Allawee Ramli untuk mencetak jaringan pertama Johor DT hasil umpanan Pereyra Diaz.

Selepas jaringan pembukaan itu pasukan pelawat yang masih segar dengan kejayaan membelasah kelab Ayeyawady United dalam saingan Piala AFC terus mencipta beberapa gerakan menarik untuk menambah jaringan kedua.

Diaz yang sentiasa menampilkan aksi lincah membuktikan dia layak dilabel peledak tulen apabila menghasilkan jaringan kedua pasukannya selepas bijak menggelecek tiga pertahanan tuan rumah sebelum merembat leret menewaskan Sharbinee pada minit ke-32.

Seminit sebelum menuju bilik persalinan untuk mengakhiri babak pertama skuad Peteh memperoleh peluang terbaik untuk merapatkan kedudukan namun tendangan pemain gantian Fakrurazi Musa ditepis keluar penjaga gol.

Bersambung babak kedua harapan tuan rumah untuk memburu jaringan tampak sukar biarpun melakukan dua pertukaran sebaliknya barisan pelawat hampir menambah episod duka tuan rumah dengan dua percubaan menarik menerusi Safee Sali dan Diaz.

Kemasukan Juan Martin Lucero dan kapten Syafiq Rahim terus menambah sengat pelawat dengan asakan bertali arus namun barisan pertahanan tuan rumah yang diketuai Vincent Bikana dapat bertahan hingga tamat permainan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Februari 2016 @ 8:42 AM