KETUA Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail (dua dari kiri) menyambut skuad terjun negara.
Oleh Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my


Sepang: Persembahan mengagumkan dengan aksi terjunan hebat menjanjikan harapan skuad terjun mampu sekali lagi menghadiahkan pingat buat negara pada temasya Sukan Olimpik Rio Ogos ini.

Keyakinan itu disuarakan ketua jurulatih terjun negara, Yang Zhuliang berdasarkan prestasi atlet di Kejohanan Terjun Piala Dunia di Rio yang berakhir Rabu lalu.

Tiga slot terbaharu itu menyaksikan penerjun negara akan beraksi dalam lapan acara keseluruhan di Rio dengan kemungkinan berpeluang menambah satu lagi tempat apabila Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) mengeluarkan senarai akhir pada 7 Mac ini dengan harapan terletak kepada Ahmad Amsyar Azman untuk turut layak.

Zhuliang yang ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejurus pulang dari Brazil semalam berkata, prestasi dipamerkan atlet membabitkan Pandelela Rinong, Cheong Jun Hoong, Nur Dhabitah Sabri dan Wendy Ng begitu tinggi dengan acara 10m terjun seirama berpeluang menghadiahkan pingat.

“Pandelela dan Jun Hoong mempamerkan standard terjunan yang cukup tinggi. Pandelela masih boleh terus fokus biarpun keadaan cuaca tidak menentu.

“Jun Hoong pula melakukan tugasnya dengan cukup baik. Dia cemerlang dalam acara 3m papan anjal dan juga 10m terjun seirama. Sebelum ini ketika di Kejohanan Dunia di Kazan dia mengalami kecederaan. Tapi kali ini dia membuktikan mampu melakukan terjunan dengan baik,” katanya.

Setakat ini seramai lima atlet terjun negara sudah mengesahkan tempat ke Olimpik membabitkan Pandelela, Jun Hoong, Wendy Ng, Nur Dhabitah Sabri dan Ooi Tze Liang.

Bagaimanapun Zhuliang berkata, sebarang kemungkinan boleh berlaku dan beliau boleh membuat penukaran pada saat akhir berdasarkan prestasi terkini atlet.

Katanya, penerjun senior seperti Leong Mun Yee yang kini masih lagi dalam proses pemulihan turut berpeluang beraksi di Olimpik buat kali kelima.

“Ada kalanya kecederaan tidak dapat diduga dan FINA juga sentiasa membenarkan kita menukar atlet biarpun pada saat akhir. Jadi kemungkinan untuk berlaku perubahan ketika di Olimpik nanti, tetap ada,” katanya.

Empat tahun lalu skuad negara mengisi sembilan slot ke Olimpik dan berjaya menyumbangkan satu gangsa melalui Pandelela dalam acara 10m platform individu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Februari 2016 @ 8:39 AM