ADIQ (dua dari kiri) memenangi jersi putih selepas berakhirnya peringkat keempat.

Cameron Highlands: Peluang kini terbuka kepada Adiq Husainie Othman melakar sejarah muncul pelumba tempatan pertama dinobatkan pelumba terbaik Asia di Le Tour de Langkawi (LTdL).

Adiq yang mewakili Terengganu CyclingTeam menyarung jersi putih (kategori pelumba terbaik Asia) selepas berakhirnya peringkat keempat pendakian di Tanah Rata, semalam.

Dia menamatkan perlumbaan di tempat ke-24 dan mengumpul masa 14 jam 9 minit 25 saat, kelebihan enam saat mengatasi pelumba Aisan Racing Team Ito Masakazu.

“Saya memang menantikan peringkat ini. Saya sedaya upaya cuba kekal dengan kelompok pertama pelumba sehingga tiga kilometer terakhir.

“Saya memang bersedia tahun ini dengan kehilangan berat badan untuk membolehkan saya melakukan pendakian dengan lebih baik. Berbaki empat peringkat saya berharap mampu mengekalkannya,” jelas Adiq.

Jelas pelumba berusia 25 tahun itu, kehadiran peminat yang sentiasa memberikan sokongan kepadanya dirinya menambahkan lagi semangat untuk cuba meraih sesuatu semalam.

Tambahnya, sudah pasti akan berlaku pemecahan dalam baki perlumbaan namun bersedia memberikan kayuhan sebaik mungkin.

Adiq turut meletakkan sasaran untuk sekurang-kurangnya berada dalam kelompok 20 terbaik dalam kategori individu keseluruhan.

Sejak kategori pelumba terbaik Asia mula dipertandingkan pada edisi ketiga iaitu pada 1998, tiada pelumba Malaysia pernah memenanginya.

Rakan sepasukannya, Anuar Manan pernah melakar sejarah memenangi gelaran Raja Pecut pada 2010 selain memenangi satu peringkat perlumbaan pada edisi yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Februari 2016 @ 8:13 AM