DUA peserta selamat tiba di garisan penamat.
GELAGAT peserta sewaktu meredah hutan Dengkil.
Oleh Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@hmetro.com.my


Meredah kegelapan pagi dalam hutan selain terpaksa bermandi keringat bercampur lumpur, itu antara cabaran ditempuh 1,200 peserta perlumbaan Straco XC MTB Jamboree yang berlangsung di Paya Indah Wetland, Dengkil, Selangor baru-baru ini.

Biarpun jarak yang perlu ditempuh hanya sejauh 46 kilometer, perlumbaan anjuran Straco Venture ini nyata bukan sesuatu yang mudah kerana 70 peratus halangan membabitkan laluan ‘off-road’ yang lasak.

Sebaik 10 minit pertama perlumbaan yang bermula jam 7 pagi ini, cabaran pertama menanti peserta apabila terpaksa berkayuh meredah hutan Dengkil dalam suasana gelap.

Biarpun ada denai yang menjadi laluan, kegelapan pagi memaksa peserta cekal meredah laluan yang berbatu serta tidak rata. Acap kali juga peserta terlompat-lompat di atas basikal sebaik roda menerjah akar kayu serta laluan berlubang. Itu hanya cabaran awal.

Cabaran lebih lasak menanti peserta sebaik mentari mula menyinari bumi memperlihatkan keadaan sebenar trek yang perlu dihadapi. Selain tidak rata, mereka perlu mendaki dan menuruni bukit selain meredah trek berlumpur. Berikutan itu semua peserta lencun, basah dek peluh bercampur selut.

Bagi yang tidak biasa, ia mungkin merimaskan tetapi bagi peserta yang sudah lali, itu antara cabaran ditunggu mereka sebagai pencinta aktiviti sukan Mountain Bike (MTB) yang terkenal dengan kelasakan. Ini kerana, hanya menerusi cabaran begitulah mereka dapat meneroka keupayaan diri untuk menamatkan perlumbaan.

Dalam perlumbaan ini, sebanyak lima kategori dipertandingkan membabitkan kategori Terbuka Lelaki, Master, Veteran Lelaki, Junior Lelaki dan Terbuka Wanita.

Pengarah Straco XC MTB Jamboree, Rebekah Chua berkata, penganjuran program berkenaan membabitkan dua aktiviti dalam satu iaitu perlumbaan berbasikal dan larian sejauh 10 kilometer.

Katanya, tidak sekadar untuk merancakkan lagi aktiviti bersukan, sebaliknya perlumbaan itu sebahagian usaha memungut dana bagi Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM).

“Matlamat kami dalam perlumbaan ini untuk menggalakkan orang ramai bergiat aktif dalam sukan dan pada masa yang sama, menyemai sikap saling membantu kepada insan kurang bernasib baik.

“Ini tidak saja membentuk jasmani sihat, juga akan melahirkan individu prihatin yang berkeperibadian mulia,” katanya.

Menurut Rebekah, Straco Venture akan meneruskan aktiviti seumpama itu sepanjang 2016 dengan penganjuran empat lagi perlumbaan dua dalam satu di negeri lain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Februari 2016 @ 5:01 AM