Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail
rabiatul@hmetro.com.my

Kuching: Hujan lebat berterusan sejak malam tadi mengakibatkan beberapa kawasan di bandar raya ini dilanda banjir kilat.

Antara kawasan terjejas ialah Jalan Tun Openg, Batu Lintang, Hospital Umum Sarawak (HUS), Jalan Padungan, Tabuan Dayak serta pusat bandar raya termasuk menenggelamkan jalan di Padang Merdeka.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Kuching, Tiong Ling Hii, berkata semua balai bomba sudah diarah bersiap sedia berikutan hujan lebat yang berterusan.

"Kami terima panggilan kecemasan daripada penduduk di Tabuan Dayak kerana air dijalan dikatakan naik kira-kira satu meter. Difahamkan ada kenderaan tersangkut dalam banjir," katanya.

Banjir di Kuching sudah pulih sepenuhnya sejak Rabu lalu dengan semua mangsa banjir dibenarkan balik ke rumah masing-masing.

Hanya dua pusat pemindahan di Bahagian Serian iaitu Dewan Masyarakat Gedong dan Sekolah Kebangsaan Tanah Puteh yang masih aktif dan menempatkan seramai 631 mangsa daripada 195 keluarga.

Bagaimanapun, hujan berterusan sejak tengah malam tadi dikhuatiri menyebabkan paras air sungai kembali meningkat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Februari 2016 @ 11:19 AM