Jasin: Disuntik rasa teruja, seorang mekanik basikal sanggup datang seminggu lebih awal semata-mata mahu menjalani latihan serta membiasakan diri dengan lokasi perlumbaan.

Menyertai kategori XC Race Master, Jeffri Azlan (gambar), 40, hadir di Asahan dari Ipoh, Perak pada Jumaat lalu dengan menaiki bas dan membawa bersama basikal serta peralatan perlumbaan.

Jeffri berkata, dia sanggup mengambil cuti seminggu semata-mata mahu meninjau kawasan Asahan kerana belum pernah menjejak kaki di lokasi perlumbaan.

Katanya, dia selesa tiba lebih awal kerana mahu berlatih di kawasan Asahan bagi membiasakan diri dengan keadaan cuaca serta suasana di sini.

“Walaupun pelbagai cabaran terpaksa ditempuh termasuk ditipu ketika menaiki bas dari Ipoh dan turun di Kajang (Selangor) selepas diberitahu boleh mendapatkan bas ke Melaka dari sana. Saya akhirnya terpaksa berpatah balik ke Kuala Lumpur untuk menaiki bas ke Melaka,” katanya, di sini, semalam.

Jeffri berkata, dia seronok berada awal di sini kerana tidak menyangka lokasi kejohanan yang dipilih itu sangat indah, berlatar belakangkan kaki Gunung Ledang.

Dia yang tidak pernah melepaskan peluang menyertai kejohanan ini sejak tahun pertama penganjuran, menyifatkan sirkit ini mempunyai pemandangan paling menarik.

“Saya selesa menjalani latihan, seronok dengan kedinginan kawasan ini malah suasana kehijauannya sangat mendamaikan,” katanya.

Katanya, dia perlu hadir lebih awal ke lokasi perlumbaan kerana menghadapi masalah berkaitan kakinya yang tercedera akibat kemalangan.

“Saya perlu membiasakan diri terlebih dulu, kalau tidak saya sendiri akan menghadapi masalah ketika perlumbaan dan itu pastinya menjejaskan prestasi saya nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 November 2014 @ 5:35 AM