Oleh Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my


Kuala Lumpur: Isu cadangan kemasukan tenaga kerja asing di negara ini menerima pelbagai reaksi dan pandangan daripada pihak industri mahupun orang ramai, malah ada yang berpendapat bahawa rakyat tempatan tidak mempunyai peluang bekerja dalam sektor pembinaan yang dikuasai warga asing.

Bagaimanapun, pihak kerajaan memberi alasan kemasukan tenaga kerja asing itu adalah disebabkan kekurangan minat rakyat tempatan menyertai bidang pekerjaan yang mempunyai elemen 3D iaitu kotor, merbahaya dan sukar khususnya sektor pembinaan.

Namun, di sebalik berlakunya kekecohan di laman sosial mengenai kemasukan tenaga kerja buruh asing itu sebenarnya Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) melaksanakan pelbagai langkah bagi memastikan Malaysia terus meningkatkan produktiviti sektor berkenaan dengan sasaran 2.5 kali ganda menjelang 2020 iaitu antara sasaran yang diletakkan dalam program transformasi industri pembinaan (CITP) sehingga 2020.

Peningkatan 2.5 kali ganda itu adalah termasuk pengurangan penggunaan tenaga kerja manusia dan mengurangkan pembabitan tenaga buruh asing.

CIDB sebelum ini melaporkan 450,000 pekerja asing berdaftar dengannya dan difahamkan juga kesemua tenaga asing berkenaan bukan dalam kategori pekerja am dan ada antara mereka adalah golongan terbabit dalam program pemutihan.

Mengikut statistik terbaru yang dikeluarkan oleh CIDB, sehingga Disember 2015, bilangan pekerja binaan yang aktif ialah seramai 812,593 orang dan 671,403 adalah warga tempatan, manakala 141,190 orang adalah pekerja binaan asing.

Pemangku Ketua Eksekutif CIDB, Sr Sariah Abd Karib berkata, di dalam sektor pembinaan terdapat tiga kategori pekerja iaitu golongan profesional seperti pelukis pelan, arkitek dan jurutera manakala golongan kedua ialah pekerja mahir membabitkan kerja-kerja serta pengendalian mesin dan teknologi dan ketiga ialah pekerja am tanpa mempunyai kemahiran diiktiraf.

Beliau berkata, ketika ini, CIDB menerusi Akademi Binaan Malaysia (ABM) agresif memberi latihan kepada golongan belia tempatan untuk membolehkan mereka meningkatkan kemahiran dalam sektor pembinaan.

“Kita ingin membantu lebih ramai golongan belia tempatan menyertai sektor pembinaan dan meningkatkan kemahiran untuk berada dalam kelompok berkemahiran dan profesional.

“Ini kerana di dalam CITP kita meletakkan sasaran meningkatkan 2.5 kali ganda produktiviti menjelang 2020 yang termasuk di dalam usaha mengurangkan kebergantungan sektor pembinaan tempatan kepada tenaga kerja asing yang tidak berkemahiran dan kerja-kerja membabitkan teknologi tinggi akan dikendalikan warga tempatan,” katanya kepada Bisnes Metro baru-baru ini.

Sejak ABM ditubuhkan pada 1997, seramai 270,011 pekerja mahir tempatan, bagi program belia 92,783 peserta manakala bagi program personel seramai 177,228 orang telah berjaya dilahirkan untuk berkhidmat dalam industri pembinaan negara.

Sariah berkata, antara bidang berimpak tinggi lain yang turut ditawarkan termasuk pemasangan perancah, mekanikal dan elektrikal, operasi kren, operasi jentera berat, pemasangan paip gas, kimpalan, mengecat dan mencorak.

“Golongan belia perlu mengambil peluang menyertai kursus binaan ditawarkan ABM sekiranya mereka berminat menyertai sektor pembinaan kerana dengan adanya kemahiran diiktiraf, mereka mampu menerima gaji lebih baik.

“Dengan adanya pembabitan lebih ramai rakyat tempatan dalam bidang berkemahiran tinggi, kita dapat mengurangkan kebergantungan tenaga kerja asing dalam bidang ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Februari 2016 @ 7:26 AM