Murni Wan Omar
murni@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Penganggur dijatuhi hukuman penjara enam hari dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah mencuri komputer riba milik bekas Ahli Parlimen Setiawangsa, Tan Sri Dr Zulhasnan Rafique.

Majistret Mohd Faizal Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Effendy Jainuddin, 25, dari Sandakan, Sabah dan turut memerintahkan tertuduh dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda itu.

Mohd Effendy mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri barangan kepunyaan Dr Zulhasnan iaitu komputer riba jenama Asus bernilai RM4,500.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Jalan Beringin 1, Damansara Heights, pada 2 pagi, 8 Januari lalu.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Akmal Farhan Aziz manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Zaidi Osman.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Februari 2016 @ 4:09 PM