SAHABUDIN menunjukkan alat sukatan dan timbangan yang dipamerkan.
PENIMBANG yang digunakan peniaga untuk menimbang hasil pertanian seperti sayur dan buah-buahan.
ANTARA batu penimbang yang dipamerkan.
NERACA sama lengan digunakan untuk menimbang emas dan perak.
BATU pemberat yang digunakan untuk membuat timbangan dalam pikul yang digunakan sejak pentadbiran Persekutuan Tanah Melayu.
CUPAK digunakan untuk menyukat beras.
PELAJAR melihat alat penimbang dan sukat yang dipamerkan.
Oleh Nor Raidah Awang
am@hmetro.com.my


“Gantang, cupak, kepul dan leng,” Bagi mereka yang dilahirkan selepas tahun 1970-an, mungkin ramai tidak tahu mengenai sukatan berkenaan.

Itu belum lagi ditanya mengenai pikul, kati dan tahil. Tentu ramai yang tertanya-tanya.

Jika ingin mendapat maklumat dan menyaksikan sendiri alat timbang dan sukat lama berkenaan, anda perlu berkunjung ke Muzium Perak di Taiping.

Pameran Alat Timbang, Sukat Tradisional bermula awal bulan ini dan berakhir pada 30 Jun ini pasti menjadi pengalaman menarik bagi merungkai sejarah peralatan berkenaan.

Sebaik melangkah masuk ke ruang pameran, pengunjung dikelilingi kira-kira 120 koleksi alatan timbang dan sukat menggunakan sistem imperial tempatan sebelum ditukar kepada sistem metrik yang lebih tepat dan seragam.

Bagi yang berusia lebih 40 tahun, peralatan ini pasti dapat mengimbau notalgia kerana ia digunakan dengan meluas di seluruh negara sebelum ini.

Antaranya, gantang yang dijadikan penyukat utama untuk menyukat padi, beras dan bijirin lain, manakala cupak, kepul, dan leng pula untuk menyukat padi atau beras untuk skala lebih kecil.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan tarikh sebenar alat penyukat itu mula digunakan di Malaysia.

Ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka, sistem timbangan seperti kati, tahil dan bahara diperkenalkan oleh Syahbandar.

Ketika itu, sistem kati dan tahil digunakan untuk menimbang emas, perak, bahan wangian, kapur dan batu permata.

Sistem bahara pula digunakan untuk menimbang rempah, lada, bunga cengkih, dan jagung. Alat penimbang yang digunakan ialah dacing.

Bagaimanapun, Akta Timbang dan Sukat Meter 1971 atau Akta 40 diperkenalkan bagi mengawal selia sistem timbangan dan sukatan serta peralatan digunakan. Akta ini kemudian digantikan dengan Akta Timbang dan Sukat 1972 (Akta 71).

Penolong Kurator Kanan Muzium Perak Sahabudin Md Isa berkata, pameran itu bertujuan memberi pendedahan dan pengetahuan kepada generasi muda mengenai peralatan timbang dan sukat tradisional yang pernah digunakan suatu masa dahulu.

“Pameran ini diadakan berikutan kebanyakan generasi muda tidak mengetahui dan tidak pernah melihat peralatan lama yang kini tidak lagi digunakan dalam urusan perniagaan selepas menggunakan sistem timbangan metrik.

“Antara koleksi peralatan lama yang akan dipamer ialah gantang, cupak, kepul dan pelbagai jenis alat penimbang dacing.

“Kami mengalukan pengunjung hadir ke Muzium Perak bagi melihat pelbagai koleksi alat timbang dan sukat yang digunakan pada zaman dahulu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Februari 2016 @ 11:40 AM