Anggota PPM memeriksa krew bot tukaran barang yang dipercayai menangkap ikan di perairan negara tanpa kebenaran. FOTO ihsan PPM
Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my


Pelabuhan Klang: Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang tahan bot tukaran barang dari Tanjung Balai Indonesia kerana dipercayai menangkap ikan di perairan negara tanpa kebenaran, semalam.

Bot berkenaan ditahan anggota PPM kira-kira 7 malam semalam di perairan laut Kapar, di sini, ketika dalam perjalanan ke jeti Pelabuhan Klang.

Pegawai Pemerintah PPM Pelabuhan Klang Deputi Superintendan Ahmad Shafiki Hussin berkata, pemeriksaan lanjut mendapati beberapa peralatan menangkap ikan seperti jaring dan tong ikan disembunyikan pada bahagian kargo bot.

Katanya, polis percaya krew bot berkenaan yang berusia 38 hingga 51 tahun itu akan menangkap ikan di perairan negara ini ketika dalam perjalanan pulang ke Indonesia.

"Kes diserahkan kepada pegawai penyiasat Jabatan Perikanan Pelabuhan Klang untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Februari 2016 @ 4:56 PM