PRAWIT ketika tiba di Narathiwat untuk meninjau operasi keselamatan di wilayah itu, semalam.
Agensi

Bangkok: Menteri Pertahanan Thai Prawit Wongsuwon semalam berkata, beliau tidak dapat memberi jaminan rundingan damai antara kerajaan dengan kumpulan pemisah di selatan negara itu akan dapat disambung semula bulan depan.

Menurutnya, banyak persiapan sedang dilakukan menjelang lawatan Perdana Menteri Prayut Chan-ocha ke Malaysia minggu depan.

Prawit yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, perkara asas untuk menyambung semula rundingan berkenaan sudah hampir siap tetapi penyediaannya perlu dilakukan dengan rapi kerana ia membabitkan pelbagai pihak.

Katanya, kerajaan perlu meningkatkan keyakinan dalam kalangan penduduk di wilayah itu yang sudah sekian lama bergolak hingga meragut ribuan nyawa.

Bercakap kepada wartawan ketika meninjau operasi keselamatan di Yala dan Narathiwat, Prawit menjelaskan, kerajaan tidak pernah berkata rundingan damai itu mesti disambung semula tahun ini.

Perdana Menteri Thai awal bulan ini melantik pengerusi panel penasihat yang juga bekas ketua turus tentera negara itu, Jeneral Aksara Kerdpol selaku ketua wakil kerajaan ke rundingan damai itu.

Rundingan untuk menamatkan pergolakan bersenjata di selatan Thai bermula tahun lalu tetapi terhenti ekoran pergolakan politik yang melanda negara itu.

Prayut dijadual melakukan lawatan rasmi ke Malaysia pada 1 Disember ini untuk berbincang dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Rundingan damai itu menjadi tumpuan dalam lawatan seharinya itu.

Menurut Prawit, Prayut dan Najib akan mencari kata sepakat mengenai tempoh rundingan itu dan tempat ia akan diadakan.

Kerajaan Thai dan semua kumpulan pemisah terbabit dijangka menandatangani persetujuan itu.

Bagaimanapun, setakat ini, hanya Barisan Revolusi Nasional (BRN) dan Pertubuhan Pembebasan Patani Bersatu (PULO) yang mengesahkan akan menandatanganinya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 November 2014 @ 5:05 AM