TERTUDUH dibawa ke Mahkamah Majistret Gerik. FOTO Supian Ahmad
Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@hmetro.com.my


Gerik: Lelaki warga Bangladesh dijatuhkan hukuman denda RM2,000 dan diusir pulang ke negara asalnya oleh Mahkamah Majistret Gerik selepas mengaku salah menggunakan sijil kelahiran milik orang lain selama kira-kira 15 tahun.

Pengakuan bersalah itu dibuat tertuduh yang dikenali sebagai Ahmad Basir, 38, selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistrest A Akhiruddin@Boy Achu.

Dalam penghakimannya, A Akhiruddin turut memerintahkan tertuduh dipenjara selama dua bulan sekiranya gagal membayar denda sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk dihantar pulang ke negara asalnya.

Ahmad Basir didakwa melakukan kesalahan itu pada 11 Disember 2001 kira-kira 4 petang di Pejabat Pendaftaran Negara cawangan Gerik tanpa sebarang kuasa sah memberikan maklumat palsu ketika memohon Daftar Lewat Kad Pengenalan dengan menggunakan sijil kelahiran atas nama Ahmad Basir Mat Rozali bernombor C749050.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditahan oleh Pegawai Penguatkuasa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pada 11.40 pagi 18 Februari 2016 di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN Perak.

Dia didakwa mengikut Peraturan 25(1)(b) Peraturan Pendaftaran Negara 1980 Pindaan 2007 yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa JPN, Ahmad Firdaus Che Md Rose manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Februari 2016 @ 11:43 AM