ZAINAL
Oleh Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seri 2-2 dengan Ceres FC pada aksi sulung Kumpulan E kempen Piala AFC kelmarin tidak memberikan tekanan atau menjejaskan misi Selangor untuk mara lebih jauh pada kejohanan itu, malah gembira dapat membawa pulang satu mata berharga dari tempat lawan.

Sebaliknya, jurulatih Red Giants, Zainal Abidin Hassan menyifatkan aksi pertama itu sebagai pentas meraih pengalaman berguna serta dapat menghidu beberapa kelemahan untuk penambah baikan yang perlu dilakukan dalam pasukan.

Katanya, anak didiknya sudah memberikan aksi terbaik dengan mendahului 2-1 pada pertengahan babak kedua namun gagal mengekang kebangkitan skuad tuan rumah pada penghujung babak kedua.

Ujarnya, graf persembahan pemainnya tiba-tiba menurun sebaik beliau melakukan pertukaran pertama pada minit ke-80 susulan masalah kecederaan dan kegagalan pemain gantian mengekalkan rentak permainan.

Ya, kami agak lambat menyesuaikan diri dengan perlawanan. Tapi apabila berjaya bangkit, kami dapat beraksi dengan baik dan menyamai rentak pasukan lawan.

“Cuma apabila terdapat beberapa pemain mengalami kecederaan dan pertukaran di buat, nampak graf permainan kami menurun menuju minit akhir perlawanan dan akhhir pintu gol kami dibolosi,” katanya sejurus tamat aksi.

Selangor dan Ceres turut diundi dalam Kumpulan E bersama Tampines Rovers dari Singapura dan kelab Sheikh Jamal Dhanmondi (Bangladesh).

Dalam satu lagi perlawanan kelmarin, wakil kota Singa itu membelasah lawannya 4-0 sekali gus menjadi pendahulu kumpulan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Februari 2016 @ 8:44 AM