Sultan Ibrahim diiringi Mohamed Khaled pada Majlis Tilawah Al-Quran peringkat Negeri Johor Ke-60 di Dataran Tanjung Emas, Muar. FOTO Syarafiq Abd Samad
Ibrahim Isa
ibrahim_isa@hmetro.com.my


Muar: Semua pendakwah perlu menghormati undang-undang dan mendapatkan tauliah daripada Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) sebelum memberi ceramah di negeri ini.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bertitah, dalam Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan agama Islam di bawah kuasa negeri dan Sultan adalah ketua agama di negeri masing-masing.

"Malah, dalam undang-undang tubuh kerajaan Johor 1895 memperuntukkan dengan jelas Sultan adalah ketua agama bagi negeri Johor Darul Takzim.

"Tetapi sejak kebelakangan ini beta dapati ada pihak yang suka mencampuri kuasa agama di negeri sedangkan mereka hanya mempunyai bidang kuasa di negeri masing-masing," titahnya pada Majlis Perasmian Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Johor Ke-60 di Dataran Tanjung Emas di sini, sebentar tadi.

Sultan Ibrahim ditemani Permaisurinya, Raja Zarith Sofiah dan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Tan Sri Mohamad Aziz; Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri Johor, Datuk Ismail Karim; Mufti Johor, Datuk M Tahrir Samsudin dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Koperasi dan Pembangunan Usahawan Johor, Md Jais Sarday.

Turut hadir,Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya Johor, Datuk Hasni Mohammad dan Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor, Abd Mutalip Abd Rahim.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Februari 2016 @ 10:48 PM