BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang kelindan lori dipenjara 128 hari kerana gagal membayar denda RM11,650 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Trafik terhadap 52 pertuduhan pelbagai kesalahan trafik sejak 10 tahun lalu.

Majistret Noorul Fhaies Mohd Nayan menjatuhi hukuman itu terhadap V Saravanan yang didakwa mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mahkamah mengenakan denda antara RM150 hingga RM350 terhadap Saravanan, 42, bagi semua pertuduhan dan dia kemudian dihantar ke Penjara Kajang.

Mengikut pertuduhan, Saravanan didakwa antaranya tidak memiliki lesen memandu, cukai jalan dan insurans kenderaan tamat tempoh, tidak memakai topi keledar serta tidak mempunyai lesen memandu untuk kenderaan berat.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di beberapa kawasan di sekitar Jalan Maarof, Jalan Ampang, Jalan Cheras dan Jalan Pudu, di sini, mengikut antara tahun 2006 hingga 2016 mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Saravanan yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan atas alasan perlu menyara anak yang masih kecil dan isteri yang mengandung selain hanya berpendapatan rendah.

Saravanan antara yang ditahan dalam Ops Warta sebelum ini dan hasil pemeriksaan mendapati dia mempunyai waran tangkap kerana tidak menjelaskan saman sejak 2006.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Februari 2016 @ 9:46 PM
Skip this ad x