SHAHRUL keluar dari di Mahkamah Majistret Kuala Lumpurselepas pertuduhan mencuri telefon bimbit pada Julai 2015. FOTO Fail NSTP Abdullah Yusof
Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Penganggur, Shahrul Anuar, 23, yang didakwa mencuri telefon bimbit di Plaza Low Yat, Bukit Bintang, Julai tahun lalu, sekali lagi dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas tuduhan mencederakan mekanik dengan menggunakan parang di Jalan Jelatek, di sini, Sabtu lalu.

Shahrul Anuar dan rakannya, Muhammad Shameer Zaidi, 19, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Rehan Mohd Aris.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama didakwa mencederakan Hafizuddin Hamzah, 27, menggunakan parang di hadapan bengkel Jalan Jelatek, 3.30 pagi, 20 Februari lalu.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.

Mahkamah tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin disebabkan tiada penjamin hadir dan menetapkan 30 Mac ini sebagai sebutan semula kes.

Pada 12 Februari lalu, Shahrul Anuar didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan mengambil syabu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Februari 2016 @ 9:43 PM