Abdul Rahman maklumkan WSJ terus sengaja mengabaikan fakta sahih.
Siti A'isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my


Putrajaya: Agenda menentang Malaysia yang diperjuangkan Wall Street Journal (WSJ) adalah jauh tersasar daripada kewartawanan lazim, tegas Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Beliau berkata, WSJ terus sengaja mengabaikan fakta sahih sambil mendakwa laporannya berkaitan Malaysia tidak pernah dipersoalkan.

"Kerap kali ditegaskan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan derma kepada Perdana Menteri tidak mempunyai sebarang kaitan dan hakikatnya derma itu diterima dari Arab Saudi disahkan oleh pelbagai pihak berkuasa.

"WSJ memilih untuk tidak menghiraukan semua fakta ini dan terus mengemukakan apa yang disebut sebagai bukti untuk menyokong tuduhan liar mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Rahman berkata, perkara berkenaan adalah berpunca daripada penentang Perdana Menteri menerusi Kempen Anti-Najib yang hanya mengutamakan kepentingan politik tanpa menghiraukan kesannya terhadap Malaysia.

Pada masa sama, beliau berkata, rangkaian televisyen BBC di Britain dan akhbar The Telegraph turut menyiarkan artikel Lidah Pengarang yang menentang WSJ.

"Wartawan veteran BBC, Korensponden Keselamatan bagi Asia Barat dan hos rancangan War On Terror rangkaian itu Frank Gardner, mengesahkan dengan sumber rapatnya di Arab Saudi bahawa derma sedemikian mendapat kelulusan pihak tertinggi kerajaan.

"Menurut beliau, penyaluran derma seperti itu adalah perkara biasa. Siapa yang patut dipercayai? Wartawan WSJ yang biasa membuat liputan berita kewangan atau pakar Asia Barat BBC apabila memperkatakan soal ketepatan maklumat dari Arab Saudi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Februari 2016 @ 8:56 PM