Mohd Rizal Abdullah
mohd.rizal@hmetro.com.my

Miri: Sekurang-kurangnya 526 hektar kawasan hutan yang terbakar di Kuala Baram, di sini, sudah dipadamkan sepenuhnya, hari ini.

Bagaimanapun, anggota bomba masih memantau kawasan masih mengeluarkan asap.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat, Miri Law Poh Kiong, berkata lebih 200,000 liter air termasuk dari Unit Udara Bomba Miri digunakan untuk memadam kebakaran itu.

Menurutnya, bantuan dua pesawat Bombardier CL 145 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia(APMM) sejak semalam turut membantu mempercepatkan pemadaman itu.

"Kami masih memantau bagi memastikan kawasan yang terjejas tidak terbakar semula,” katanya.

Kebakaran hutan di Kuala Baram berlaku, sejak petang Jumaat lalu, sehingga menyebabkan indeks pencemaran udara(IPU) di kawasan itu melebihi 300.

Bagaimanapun, IPU di kawasan itu kembali pulih bawah parasa 50 (baik) yang direkodkan sehingga kira-kira 12 tengah hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Februari 2016 @ 2:15 PM