PELUMBA basikal terkenal (dari kiri) Tomohiro Hayakawa (Aisan Racing Team), Anuar Manan (TSG), Jaco Venter (Dimension Data), Janez Brajkovic (Unitedhealthcare), Matthew Goss (One Pro Cycling), Guardini dan Lopez (Astana) bergambar bersama selepas sidang media pelumba LTdL 2016.
Oleh Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my


Alor Setar: Edisi ke-21 perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) yang bermula hari ini menjanjikan saingan sengit 22 pasukan bertanding.

Astana Pro Team menjadi tumpuan utama apabila hadir dengan misi besar meraih kejuaraan individu keseluruhan dan jersi Raja Pecut menerusi Miguel Angel Lopez dan Andrea Guardini.

“Perlumbaan ini memang dinantikan dengan keutamaan saya peringkat keempat (Ipoh ke Tanah Rata, Genting Highlands). Rakan sepasukan akan berusaha keras untuk saya bagi peringkat itu.

“Namun pada tiga peringkat awal saya perlu memberikan fokus lebih agar jurang masa tidak terlalu ketara. Kami akan berusaha untuk Guardini pada peringkat awal,” kata Lopez.

Juara individu keseluruhan tahun lalu, Youcef Reguigui tidak beraksi pada edisi ke-21 ini, namun Dimension Data menyenaraikan Jaco Venter bagi menggalas cabaran pasukan dari Afrika Selatan itu.

Beberapa pelumba dijangka menjadi penghalang Astana Pro Team meraih kejuaraan berganda dengan mereka berpeluang menafikan jersi Raja Pecut dimiliki Guardini adalah Jakub Mareczko (Southeast) dan Matthew Goss (One Pro Cycling).

“Sukar untuk kami meraih dua kejuaraan. Kami perlu bekerjasama dengan beberapa pasukan lain. Saya sedar perlumbaan setiap tahun semakin sengit dengan kehadiran pelumba pecut yang lebih muda dan pantas,” kata pelumba dari Itali itu.

Malah dia tidak meletakkan sebarang sasaran memenangi peringkat perlumbaan selepas memegang rekod kejuaraan sebanyak 18 peringkat LTdL, namun berjanji akan berusaha melebarkan jumlah itu.

Bagaimanapun tumpuan bukan saja kepada pasukan berstatus profesional benua dan benua termasuk dari Asia.

Tumpuan peminat tempatan pastinya tertumpu kepada tiga pasukan iaitu Terengganu Cycling Team, skuad kebangsaan dan NSC-Mycron.

Perlumbaan edisi ke-21 LTdL membabitkan lapan peringkat perlumbaan dengan jarak sejauh 1,100 kilometer.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Februari 2016 @ 8:05 AM