Shamasrol merindui arwah isterinya. FOTO ihsan Shamasrol
Nurul Huda Kosnon
nurulhuda_kosnon@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: "Rakan kata, saya cari penyakit. Mereka beranggapan begitu kerana keadaan saya yang kudung tangan kiri selepas terbabit kemalangan tahun lalu.

"Tak kisahlah asalkan perasaan rindu saya pada isteri terubat selain dapat memenuhi kepuasan berlumba.”

Itu kata Shamasrol Abu Bakar, 37, yang gambarnya menyertai perlumbaan motosikal menunggang motosikal Yamaha RXZ berwarna merah yang sudah diubahsuai untuk kegunaannya di Litar Sepang ‘viral’ di Facebook, baru-baru ini.

Kakitangan swasta itu berkata, dia menyertai pertandingan 'Braap Day' pada 13 Februari lalu kerana sudah lama tidak berlumba.

"Sejak kemalangan 2015 lalu, ini kali pertama saya menyertai perlumbaan motosikal. Pada awalnya rakan tidak bersetuju dengan hasrat saya kerana mereka beranggapan perlumbaan ini membahayakan keselamatan.

"Saya teruskan juga kerana yakin dengan kemampuan sendiri," katanya ketika dihubungi Harian Metro, petang tadi.

Menurut bapa tiga anak berusia 10 hingga 19 tahun itu, niatnya untuk berlumba turut didorong oleh perasaan rindu terhadap arwah isterinya.

"Dulu dia (arwah) selalu menemani dan memberi sokongan kepada saya dalam setiap perlumbaan yang saya sertai di litar lumba ini hampir setiap bulan kerana arwah juga suka dengan sukan lumba motor ini.

"Saya memang trauma dengan insiden kemalangan itu tetapi tetap mahu berlumba kerana saya sudah berlumba di litar sejak usia 19 tahun," katanya.

Katanya, ketika perlumbaan 13 Februari lalu, dia terjatuh di selekoh.

"Penutup kepala yang saya gunakan terbuka dan menutup kedua-dua mata menyebabkan saya tidak dapat mengawal motosikal.

"Alhamdulillah, tiada kecederaan teruk dan saya masih mampu bangun semula serta meneruskan perlumbaan sehingga ke garisan penamat,” katanya.

Katanya, selesai perlumbaan, beberapa rakannya hairan bagaimana dia mampu berlumba sehingga ke garisan penamat memandangkan keadaan fizikalnya yang tidak sempurna.

"Saya maklum pada mereka bahawa saya menggunakan teknik yang betul dan mengawal kelajuan motosikal dengan sebaiknya.

"Bukan saya mahu menunjuk-nunjuk, tetapi mahu buktikan insan seperti saya juga boleh melakukan semua perkara seperti insan lain.

"Insya-Allah, saya tidak akan melepaskan peluang untuk berlumba pada masa akan datang kerana sukan ini juga adalah hobi pada masa terluang," katanya.

Pada 5 Julai 2015, Shamasrol putus tangan manakala isterinya putus kepala selepas motosikal ditunggang mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer 14.2, Lebuh Raya Seremban-Port Dickson.

Kemalangan pada 4.45 pagi itu menyebabkan dia parah manakala isterinya meninggal dunia di tempat kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2016 @ 9:36 PM