CHEF Robert beraksi di dapur panggang terbuka.
HIDANGAN daging dipanggang segar.
Oleh Basyar Mustapha
basyar@hmetro.com.my

Makanan panggang bukan saja sedap, malah lebih sihat berbanding makanan bergoreng. Apabila dipanggang, keenakan semula jadi bahannya semakin terserlah.

Dengan teknik memanggang yang betul, lebihan minyak di dalamnya akan menitis keluar semasa dimasak. Kombinasi antara rasa dan kebaikan ini membuatkan ramai yang menyukai makanan dipanggang untuk menjamu selera.

Restoran Charcoal di Hotel Saujana Kuala Lumpur menyediakan makanan panggang sebagai hidangan utamanya dengan konsep dapur pemanggang terbuka.

Konsep dapur terbuka ini membolehkan tetamu melihat sendiri aksi tangkas tukang masak menyediakan makanan. Juadah di Charcoal adalah inspirasi teknik masakan dulu kala apabila bahan masakan dipanggang atas api kayu arang.

Teknik ini disempurnakan dengan tradisi memanggang tempatan menggunakan rempah ratus dan pes dengan tujuan membangkitkan rasa pada daging dan makanan laut yang dipanggang.

Nyata Charcoal mengangkat teknik masakan ini dengan teliti dan mempersembahkannya dalam gaya kontemporari untuk pelanggan yang kini rata-rata arif dalam mengenal pasti rasa.

Ketua chef Charcoal, Robert Johnston yang berasal dari Australia mengemudi dapur restoran dengan teknik dan kepakarannya menyediakan makanan barat asli dan tempatan.

Menurut chef yang berkahwin dengan wanita Melayu Singapura ini, restoran itu mengetengahkan masakan panggang dengan visi yang lebih luas dan serius.

Hidangan laut seperti udang harimau, sotong dan pelbagai jenis ikan bakar dipanggang segar dan lebih lazat jika dicicah bersama tiga jenis sambal istimewa iaitu sambal mangga, cili hijau dan cili bawang putih selain air asam.

Masakan Peranakan juga dihidangkan termasuk kari kacang Ambila dan laksa lemak Melaka. Kari Devil iaitu masakan kebanggaan masyarakat Portugis Melaka juga disediakan.

"Kami mengolah beberapa masakan tempatan terutama jenis panggang, contohnya ayam percik dipanggang tanpa pes. Pes ini hanya disapu selepas ayam masak ala roulade Perancis untuk rasa lebih kontemporari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 November 2014 @ 5:03 AM